BELANJAWAN 2025 > BERITA

2,000 Pemain, 104 Pasukan Berentap Di Selangor Touch Fiesta 2025

06/08/2025 01:52 PM

SUNGAI BULOH, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pemain daripada 104 pasukan bakal bersaing pada kejohanan Selangor Touch Fiesta 2025 yang dijadual berlangsung di Hevea Arena, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), di sini, dari 15 hingga 18 Ogos ini.

Setiausaha Persatuan Touch Negeri Selangor (TAS) Amir Afifuddin Amir Sharifudin berkata lapan kategori dipertandingkan pada kejohanan itu terdiri daripada lima kategori junior dan tiga terbuka iaitu lelaki, wanita dan campuran.

Beliau berkata selain pasukan tempatan, kejohanan itu turut menerima penyertaan lapan pasukan luar negara dari Singapura, Brunei dan Filipina.

“Selangor Touch Fiesta ini bukan sekadar kejohanan, sebaliknya permulaan kepada satu legasi bagi sukan touch.

“Kejohanan ini adalah cara TAS memartabatkan sukan touch, menyatukan komuniti dan memberi peluang kepada pemain di peringkat akar umbi hingga atlet berbakat mewakili negara satu hari nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Touch ialah permainan dimainkan oleh dua pasukan dengan enam pemain setiap satu.

Menggalakkan kemahiran asas seperti berlari, menghantar, menangkap, mengelak dan permainan sokongan, sukan touch dimainkan dengan sentuhan minimum tanpa kontak fizikal kasar menggunakan bola menyerupai ragbi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan