BELANJAWAN 2025 > BERITA

Projek RTB Alor Gajah Fasa 1 Siap Januari 2026

06/08/2025 03:43 PM

ALOR GAJAH, 6 Ogos (Bernama) -- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1 yang dimulakan sejak Ogos 2022 kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata meskipun berlaku sedikit kelewatan iaitu empat peratus daripada jadual asal akibat isu utiliti dan tanah, keseluruhan pelaksanaan projek masih berada di landasan yang betul.

“Projek ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 1,275 penduduk yang sering terjejas akibat banjir, terutamanya di kawasan Taman Sri Bayu, taman-taman perumahan sekitar serta beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia,” katanya selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau dan mendengar sesi taklimat berkaitan tapak projek berkenaan di Seri Pengkalan di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf meluangkan masa hampir 30 minit meninjau lokasi itu, yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Datuk Fairul Nizam Roslan serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Sementara itu, Rais berkata projek berimpak tinggi yang merangkumi pembinaan kolam takungan banjir seluas 10 hektar kini mencapai kemajuan 87 peratus, selain kerja-kerja menaik taraf Sungai Alor Gajah di Taman Sri Bayu 2 sepanjang satu kilometer yang mencapai 62 peratus serta pembinaan ban banjir sepanjang 350 meter telah siap sepenuhnya.

“Lebih utama apabila projek asal bernilai RM17 juta itu siap kelak, kawasan banjir yang dapat dikurangkan dianggarkan seluas 418 hektar,” katanya. 

Rais berkata lawatan kedua Ketua Menteri bagi meninjau kemajuan projek itu menjadi signifikan dan sokongan berterusan terhadap usaha menambah baik sistem saliran serta perlindungan banjir di kawasan terbabit.

“Insya-Allah projek ini akan disiapkan mengikut jangkaan dan memberi manfaat besar kepada penduduk. Walaupun ada kelewatan kecil, semuanya masih terkawal dan dalam pelaksanaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan