BERITA TERGEMPAR | Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | |
Oleh Abdul Hamid A Rahman & Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pegawai tertinggi syarikat perunding hartanah global membayangkan bahawa Pelabuhan Kuantan bakal muncul sebagai hab perdagangan dan logistik utama Malaysia, berikutan kedudukannya yang strategik dan memanfaatkan ketersambungannya menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia Sarkunan Subramaniam berkata pelabuhan itu boleh menjadi pintu masuk strategik yang menghubungkan sebahagian besar kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang kurang membangun ke pasaran global.
Beliau berkata ECRL sepanjang 665 kilometer - berperanan penting sebagai jambatan darat yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang - menyediakan koridor daratan utama yang bakal meletakkan Pelabuhan Kuantan sebagai pintu masuk utama dan pusat pengedaran semula kargo ke Pantai Barat.
“Anda kini mempunyai jambatan darat yang membolehkan barangan yang dihantar di Pelabuhan Kuantan diangkut ke Pelabuhan Klang untuk dieksport semula. Ketersambungan daratan menerusi ECRL akan meningkatkan nilai Kuantan dalam rangkaian logistik negara.
“Pelabuhan terbesar di Pantai Timur ialah Kuantan. Ia bukan sekadar pelabuhan wilayah lagi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas mengenai gesaan menghubungkan terus ECRL ke sempadan Thailand, beliau berkata cadangan itu memerlukan kajian kebolehlaksanaan terperinci, terutamanya dari segi potensi kesan ekonomi dan penyesuaian teknikal.
“ECRL menyokong kedua-dua penumpang dan barang, dengan sambungan kargo utama antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang.
“Cadangan menyambung laluannya ke Thailand perlu dinilai berdasarkan sama ada ia memberi faedah ekonomi yang bermakna, khususnya bagi kargo, memandangkan pengangkutan penumpang sudah disokong menerusi hubungan darat yang lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial