BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dewan Rakyat: Dasar Khusus Ekonomi Kreatif Perlu Dibangunkan, Sedia Ekosistem Holistik 

06/08/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan disaran merangka dasar ekonomi kreatif negara atau ekonomi jingga yang menyeluruh dan tersusun bagi memacu pertumbuhan sektor itu yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda serta berpotensi menjana pendapatan negara.

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata tanpa dasar yang kukuh, bakat dan potensi tempatan berisiko tenggelam ditelan zaman atau ‘disunting’ oleh negara lain.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya Malaysia meletakkan ekonomi kreatif sebagai teras pembangunan masa depan serta menjadikan produk negara seperti ‘Malay Pop’ sebagai fenomena dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Korea Selatan telah membuktikan bagaimana pelaburan dalam ekosistem kreatif boleh melahirkan fenomena global seperti K-Pop, K-Drama dan filem bertaraf Oscar,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor itu, terutama dalam kalangan generasi muda, seperti yang dibuktikan menerusi kejayaan Les’ Copaque dengan animasi Upin & Ipin, serta Ejen Ali dan Mechamato.

Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) menyifatkan ekonomi kreatif negara dalam keadaan menyedihkan, bukan kerana kekurangan bakat, tetapi akibat kegagalan menghargai penggiat seni kreatif.

Beliau berkata ramai penggiat seni tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), menyebabkan mereka terdedah kepada masalah kewangan tanpa jaringan keselamatan sosial.

“Jika kita mahu Malaysia maju bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi dari segi jiwa dan budaya, kita mesti lindungi para pencerita kita dengan membiayai seni secara mencukupi dan menyediakan kontrak yang adil,” katanya.

Beliau turut membandingkan Malaysia dengan negara seperti Korea Selatan dan Thailand yang berjaya menjadikan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, sedangkan Malaysia masih ketinggalan akibat ketiadaan strategi yang jelas.

“Korea Selatan membina pengaruh global menerusi K-Drama dan K-Pop, Indonesia melabur besar dalam seni manakala Thailand mencatat lonjakan pelancongan luar biasa hasil siri HBO The White Lotus,”katanya.

“Ini bukan soal nasib tetapi soal strategi, kerana kesannya terhadap ekonomi ialah lonjakan pelancongan dan suntikan berjuta-juta ringgit kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mencadangkan kerajaan menarik semula subsidi gula berjumlah RM500 juta setahun serta mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape berikutan tahap kesihatan rakyat yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, separuh daripada golongan dewasa di negara ini mengambil gula secara berlebihan, manakala 39 peratus mengamalkan gaya hidup tidak sihat yang menjurus kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Sudah tiba masanya kerajaan menarik balik subsidi gula demi kesihatan jangka panjang rakyat, dan menyerahkan peruntukan itu kepada Kementerian Kesihatan untuk pelaksanaan serta pengurusan tugas mereka,” katanya.

Suhaizan turut menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape seperti yang dilakukan di Singapura dan Thailand, memandangkan kandungannya boleh menyebabkan pelbagai penyakit termasuk kanser dan strok.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan