KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 168,967 pemegang akaun ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) atau 2.6 peratus daripada keseluruhan 6.5 juta pengguna mempunyai baki tertunggak setakat 30 Jun, 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata jumlah baki pinjaman BNPL dalam tempoh yang sama sebanyak RM3.8 billion, meliputi 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
"Namun begitu, jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu sebanyak RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada baki keseluruhan pinjaman BNPL," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang bertanya mengenai kedudukan terkini hutang BNPL dalam negara dan usaha kerajaan mengawal risiko keberhutangan berlebihan.
Dalam pada itu, memetik kajian Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna 2024 melibatkan 21,000 pemegang akaun aktif BNPL, Lim berkata, pengguna BNPL pada umumnya menunjukkan disiplin kewangan yang baik.
"Mereka juga melunaskan hutang BNPL dengan kadar kegagalan pembayaran balik hutang yang rendah.
"Mengikut kajian tersebut, kira-kira 88 peratus membuat semua pembayaran tepat pada masanya, 12 peratus membuat pembayaran lewat tetapi penuh dan hanya kurang daripada 0.5 peratus tidak dapat membayar sepenuhnya," jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung usaha mempertahankan kepentingan pengguna, Lim berkata, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang akan ditubuhkan di Bawah Akta Kredit Pengguna 2025 akan mengambil pendekatan penyeliaan berasaskan risiko dan berkadar ke atas pengguna kredit.
Beliau berkata penyeliaan akan dijalankan melalui pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan yang juga kaedah yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti.
"Pendekatan penyeliaan oleh SKP memberi keutamaan bagi perlindungan pengguna kredit dengan tumpuan kepada layanan yang adil, ketelusan dan pembangunan pasaran kredit yang bertanggungjawab.
"Ia disokong oleh rangka kerja peraturan termasuk standard pelesenan dan standard perlakuan di bawah Akta Kredit Pengguna yang memberi kuasa kepada SKP untuk menyelia pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya," jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial