BELANJAWAN 2025 > BERITA

Talentcorp Seru Belia India Malaysia Sertai Misi 2.0, Teroka Peluang Pekerjaan

08/08/2025 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) membuka peluang kepada semua belia India di negara ini yang layak memohon program Malaysia Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0, yang menawarkan latihan kemahiran dibiayai sepenuhnya dan diselaraskan dengan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi utama.

Menurut TalentCorp, MiSI 2.0 merupakan inisiatif berasaskan pencapaian hasil iaitu peserta akan mengikuti khusus yang dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri dengan jaminan penempatan kerja selepas tamat program.

Tempoh latihan ialah satu hingga enam bulan bergantung kepada sektor diceburi dan peserta akan menerima sijil yang diiktiraf industri setelah tamat latihan.

“Antara sektor tumpuan termasuk Elektrik dan Elektronik (E&E), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Aeroangkasa, Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), Pemprosesan Makanan, Pelancongan dan Peruncitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp Sivakumeren A Narayanan berkata MiSI 2.0 bukan sekadar latihan, tetapi ia tentang penempatan kerja, mobiliti gaji dan membina kerjaya dalam sektor yang memerlukan bakat tempatan.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 500 penempatan pekerjaan menjelang November 2025, dengan gaji permulaan yang kompetitif bermula RM3,000 ke atas. 

“Matlamat kami ialah untuk menyokong belia Malaysia mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan membina masa depan membanggakan,” katanya.

TalentCorp memaklumkan hasil awal pelaksanaan program berkenaan telah menunjukkan impak memberangsangkan dengan peserta MiSI 2.0 berjaya mendapat peluang pekerjaan di syarikat ternama seperti NXP Malaysia dan Dell Global, dengan kadar gaji mencerminkan peningkatan pendapatan serta potensi permulaan kerjaya yang kukuh.

Antara bidang latihan kemahiran ditawarkan merangkumi reka bentuk Litar Bersepadu (IC), fabrikasi wafer dan perlkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di bawah sektor E&E, pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pengkomputeran awan di bawah sektor ICT, penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) serta pembuatan bagi sektor Aeroangkasa dan sumber manusia, kewangan serta perkhidmatan pelanggan dalam sektor GBS.

Menurut TalentCorp, pemohon mestilah warganegara Malaysia berketurunan India, berumur 18 hingga 40 tahun dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma atau Ijazah, tidak bekerja atau sedang mencari peluang meningkatkan kerjaya.

Calon yang berminat boleh memohon melalui laman sesawang TalentCorp www.talentcorp.com.my/misi.

TalentCorp akan membuat semakan lanjut sebelum memadankan calon dengan laluan latihan dan penempatan sesuai manakala penempatan kerja adalah dijamin selepas menamatkan latihan.

Maklumat lanjut boleh melayari www.talentcorp.com.my/misi atau emel kepada misi@talentcorp.com.my

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan