BELANJAWAN 2025 > BERITA

ASEAN Perlu Rangka Semula Strategi Ekonomi Berikutan Pelbagai Krisis Global - Liew

08/08/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu merangka semula strategi ekonomi yang berani memandangkan rantau ini mengharungi pelbagai krisis yang berlaku serentak, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata rantau ini tidak asing dengan perubahan orde dunia, dan ASEAN perlu membentuk kelas pertengahan untuk menjadikan rantau ini sebagai pangkalan pengguna, dan bukan sekadar pangkalan pengeluaran.

“Mempunyai kelas pertengahan yang kukuh di ASEAN bermakna dunia akan mempunyai lebih daripada tiga pasaran pengguna terbesar sedia ada iaitu Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

"Ini seterusnya akan meningkatkan pengaruh ASEAN ke atas rantau-rantau lain," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Peringatan Hari ASEAN ke-58 dan Forum Integrasi Ekonomi ASEAN ketujuh di sini, hari ini.

Beliau yang memetik konteks sejarah berkata ASEAN ditubuhkan untuk memperkukuh keamanan yang baru diperoleh antara Malaysia dan Indonesia ketika itu, serta untuk mengelakkan perang antara negara anggota ketika berlaku kekacauan.

"ASEAN sudah menyedari pada 1967, sebagaimana ia turut memahami keadaan masa kini bahawa hanya dalam rantau yang aman, negara anggotanya akan menjadi lebih makmur.

"Untuk mengekalkan keamanan, ASEAN tidak memerlukan ‘payung keselamatan’ daripada mana-mana kuasa besar, sebaliknya perlu membina keamanan dan kemakmuran dalam kalangan negara anggota," katanya.

Liew berkata sejak berakhirnya Perang Dingin dan ketika konflik berbilang di Indochina tamat pada tahun 1990-an, ASEAN telah berkembang dengan mencatatkan lonjakan dan lantunan dari segi ekonomi.

Rantau ini juga telah melaksanakan strategi perindustrian berasaskan eksport yang mengandaikan AS sebagai destinasi utama eksport, katanya.

Beliau berkata ASEAN perlu berkembang lebih makmur sebelum menjadi lebih berusia dan menyeru dasar ekonomi yang empati dan inklusif.

“Kita tidak mampu untuk mempunyai ratusan juta rakyat yang miskin dan tua kerana ini adalah faktor yang membawa bencana politik dan sosial,” katanya.

Mengenai perubahan iklim, beliau berkata rantau ini adalah yang paling terdedah dan menyeru keberanian, keazaman politik dan pembiayaan bagi bertindak dengan cukup pantas untuk mengelakkan krisis.

Liew  berkata Grid Tenaga ASEAN merupakan idea hebat yang memerlukan pembiayaan dan mesti meningkatkan kesaksamaan dengan membekalkan tenaga kepada rakyat biasa yang belum pernah mendapat akses kepada tenaga.

“ASEAN memerlukan lebih banyak pembiayaan untuk mewujudkan manfaat bersama, seperti sekretariat yang mempunyai lebih banyak sumber, kapasiti dan keupayaan,” katanya.

Beliau berkata Visi Komuniti ASEAN 2045 menyediakan kerangka komprehensif untuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat.

“Kita akan memperkukuh kerjasama politik-keselamatan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, mempercepat integrasi ekonomi yang didorong oleh transformasi digital dan pertumbuhan mampan, serta memupuk pembangunan sosiobudaya yang tidak meminggirkan sesiapa pun,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kesalinghubungan dalam ASEAN akan memastikan rantau ini lebih bersepadu dan tangkas untuk bersama-sama menghadapi ketidaktentuan masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan