SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Malaysia #QuranHour yang memasuki tahun ke-11 penganjuran tahun ini akan diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata acara yang bermula pada 12 tengah hari itu mengangkat "Merdeka Dengan Rasa" sebagai tema berpandukan tiga surah pilihan iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali Imran.
Beliau berkata ketiga-tiga surah itu memberi kerangka nilai dan tindakan berpaksikan konsep Ahassa iaitu empati mendalam yang menggerakkan tindakan dengan disiplin, kesedaran dan iltizam untuk membina sebuah ummah yang kukuh, terpimpin dan berteraskan kepada Allah sebagai pusat perjuangan.
"Kita mahu melahirkan lebih ramai Saidina Umar moden iaitu pemimpin berempati yang bukan sekadar melihat derita rakyat tetapi hadir dengan tindakan dan rahmah," katanya semasa Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di sini hari ini.
Marhaini berkata tema “Merdeka Dengan Rasa” dipilih antara lain bagi menyeru masyarakat membebaskan diri daripada keangkuhan, penindasan dan ketidakadilan kepada pembinaan masyarakat adil, berihsan dan saling menyantuni.
Beliau berkata Malaysia #QuranHour turut membawa misi #ResetRasa, iaitu satu seruan untuk semua golongan masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan yang ada di sekeliling.
"Malaysia #QuranHour 2025 bukan sekadar kempen membaca al-Quran tetapi satu gerakan nilai yang mengajak seluruh rakyat merasai, menyahut dan bertindak dengan menjadikan Allah sebagai pusat perjuangan, bukan kuasa, harta mahupun populariti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial