BELANJAWAN 2025 > BERITA

Guru Pondok Perlu Kuasai Teknologi AI - PM Anwar

09/08/2025 11:33 AM

MACHANG, 9 Ogos (Bernama) -- Guru-guru pondok di negara ini perlu menguasai teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi cabaran era digital.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kegagalan menguasai teknologi terkini dan AI, boleh menyebabkan institusi pondok tewas dalam menghadapi ‘serangan baharu’ yang menggantikan bentuk penjajahan masa lalu.

“Kalau guru-guru pondok tidak menguasai teknologi baharu dan AI, kita akan kalah kerana ini adalah serangan baharu. Jika dahulu bentuknya penjajahan, kini ia serangan pemikiran.

“Kalau kita tidak kuasai, orang lain akan menguasainya. Anak-anak kita akan menggunakan AI yang dibangunkan berasaskan kerangka Amerika Syarikat atau Perancis. Jadi bagaimana kita hendak ubah pendekatan ini? Caranya ialah memastikan anak-anak memiliki ketahanan jiwa, kefahaman Islam, kecerdasan, dan kebijaksanaan untuk menentukan hala tuju mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Machang, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Anwar turut memaklumkan sudah tiba masanya benteng pertahanan sejarah umat Islam dibangunkan semula bagi melawan pengaruh sekular.

“Bulan lalu, saya memanggil pegawai Kementerian Kewangan untuk mencari jalan memilih pondok yang boleh dijadikan benteng semula. Dengan cara itu barulah MADANI dapat diwujudkan dalam erti kata sebenar,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyampaikan sumbangan sebanyak RM1.03 juta kepada wakil pondok-pondok yang menghadiri Program Muzakarah Umara' dan Ulama Pondok (UMRAN) 2025.

Sebelum ini, beliau pernah menegaskan komitmen kerajaan untuk memulih dan memartabatkan semula institusi pondok agar kekal menjadi benteng pertahanan akidah, akhlak, dan sahsiah umat Islam, selari dengan tuntutan semasa.

Usaha tersebut melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan sekolah agama dan pondok yang daif dapat dibangunkan dengan kemudahan serta teknologi baharu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan