BELANJAWAN 2025 > BERITA

NADIpreneur Lonjak Perniagaan Usahawan Mikro, Luaskan Pasaran Dalam Talian

09/08/2025 12:33 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 9 Ogos  (Bernama) -- Usahawan mikro yang mengusahakan produk gula tarik di Felda Sungai Mas, di sini kini mampu meluaskan pasaran secara dalam talian selepas menyertai program NADIpreneur, inisiatif di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Nur Syahirah Khaidir, 34, berkata program keusahawanan yang dianjurkan oleh NADI Felda Sungai Mas itu memberi pelbagai pendedahan dan kemahiran digital untuk peniaga memasarkan produk termasuk menerusi platform e-dagang.

"Kelas keusahawanan NADI sangat membantu, sebab dari situ saya dapat belajar bagaimana hendak menguruskan akaun perniagaan, cara ambil video dan gambar yang sesuai untuk produk. 

"Selain itu, pihak NADI turut mengajar bagaimana cara untuk membuatkan kedai di platform e-dagang nampak menarik," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. 

Beliau yang menjual produk buatan sendiri dan tidak menggunakan sebarang pengawet sejak 2017 itu berkata dia kini aktif di platform e-dagang dan media sosial untuk mencapai pasaran lebih luas termasuk Sabah dan Sarawak, berbanding sasaran pada awal perniagaan yang tertumpu kepada penduduk sekitar sahaja.

"Saya lihat pihak NADI terbuka dan memberikan sokongan penuh kepada usahawan yang sertai NADIpreneur. Seperti produk saya sendiri, saya lihat pihak NADI Felda Sungai Mas turut membantu dari segi promosi di platform media sosial mereka," katanya.

Beliau berkata pihak NADI turut mengambil inisiatif menganjurkan kursus pengendalian makanan untuk memudahkan peniaga terutama di luar bandar. 

Sementara itu, Pengurus NADI Felda Sungai Mas Norasikin Md Saidak berkata NADIpreneur merupakan antara program keusahawanan yang dianjurkan bagi melahirkan usahawan berdaya saing, sekali gus mampu mengubah perniagaan daripada jualan secara fizikal kepada jualan dalam talian.

"Jika dahulu, ramai tidak tahu menggunakan e-mel atau membuat transaksi dalam talian. Hari ini, mereka sudah mampu berniaga melalui TikTok Shop, menggunakan perkhidmatan Shopee serta mengurus perbankan secara digital.

"Malah, terdapat dalam kalangan peserta yang dahulunya hanya pengguna pasif media sosial, kini mampu menghasilkan kandungan kreatif dan menjana pendapatan melalui penstriman langsung, pemasaran digital dan pengurusan laman e-dagang mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata pusat NADI yang mempunyai keahlian sebanyak 3,463 orang itu sentiasa aktif menganjurkan pelbagai aktiviti merangkumi teras keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

"Kami juga terus melaksanakan pelbagai program inovatif bagi memastikan komuniti  tidak ketinggalan dalam era digital antaranya kursus MAHIR Baiki Gajet, MAHIR Jahit, MAHIR Masak ,MAHIR Foto dan MAHIR Pertanian Pintar.

"Program ini dijalankan secara dalam talian bagi membolehkan peserta memperoleh kemahiran teknikal yang boleh diterjemahkan kepada peluang pendapatan," katanya.

Norasikin berkata program bootcamp pula melatih usahawan mikro dan belia dalam aspek e-dagang, pemasaran digital, pengurusan kandungan serta strategi penjenamaan dalam talian, sementara program Tiny Technies meningkatkan kecekapan pelajar dalam kemahiran teknikal yang berkaitan dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan