BELANJAWAN 2025 > BERITA

SUKMA 2026: Cadangan Tiga Sukan Tambahan Beri Kelebihan Kepada Perak

09/08/2025 01:05 PM

IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Cadangan Selangor supaya tiga sukan tambahan iaitu petanque, Muay Thai dan silambam dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 memberi kelebihan kepada Perak untuk mendapatkan lebih banyak pingat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata ini kerana ketiga-tiga acara sukan yang dicadangkan untuk penyenaraian semula itu adalah antara sukan yang menyumbang pungutan pingat kepada Perak.

"Selain itu, kita berharap ia merupakan satu motivasi besar khusus kepada penggiat ketiga-tiga sukan itu supaya terus mempromosikan sukan ini seterusnya menjadi popular dan sentiasa dilaksanakan dalam SUKMA akan datang.

"Apa pun kita harapkan apabila cadangan kerajaan Selangor itu diangkat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, ia (penambahan acara sukan) mendapat kerana perlu diputuskan dalam mesyuarat tersebut," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Khairudin menyaksikan LSP Pro Skill Academy menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) iaitu Most House Retail Stores In A Computer Training Academy 2025.

Akademi itu mempunyai lapan cawangan di sekitar Ipoh antaranya Gunung Rapat, Bercham, Pasir Puteh, Silibin dan Bandar Seri Botani dengan kira-kira 100 pelajar setakat ini.

Semalam, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata kerajaan negeri bersetuju mencadangkan ketiga-tiga sukan terbabit untuk dipertandingkan pada temasya SUKMA 2026.

Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam masa terdekat kerana penambahan acara sukan perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Ogos.

Bagaimanapun, Mohd Najwan berkata sebarang keputusan tertakluk kepada persetujuan semua wakil negeri yang menganggotai mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan