BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perkasakan Proses Pembinaan Stesen Petrol Di Sarawak Untuk Tingkatkan Produktiviti, Tarik Pelaburan - MPC

09/08/2025 03:40 PM

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak giat mempercepat dan mempermudah proses pembinaan stesen petrol di negeri ini sebagai sokongan kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Timbalan Ketua Pengarah MPC Dr Mohammad Norjayadi Tamam berkata langkah ini bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi, merangsang pelaburan dan melonjakkan produktiviti secara menyeluruh.

“Proses yang lebih cekap dan mesra pelabur akan meningkatkan akses bahan api terutamanya di kawasan luar bandar, sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Penambahbaikan ini juga akan memperkukuh persekitaran pelaburan yang telus dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MPC, sesi libat urus pemetaan pembinaan stesen petrol selama dua hari telah dijalankan untuk mengenal pasti prosedur yang bertindih atau tidak relevan, menyelaras aliran kerja antara agensi, serta merangka penambahbaikan berimpak tinggi yang dapat mempercepatkan tempoh kelulusan.

Peningkatan kecekapan proses kelulusan dijangka mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga, mengurangkan kos dan masa menunggu bagi pelabur serta meningkatkan liputan rangkaian bahan api di kawasan strategik yang menyokong industri, pelancongan dan komuniti setempat.

“Hasil penambahbaikan projek pemetaan stesen petrol ini akan dijadikan rujukan untuk diperluaskan kepada permit pembangunan lain di Sarawak.

“Usaha ini berpotensi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa ke Sarawak kerana kestabilan bekalan tenaga merupakan faktor utama dalam keputusan pelaburan,” menurut kenyataan itu.

MPC juga berharap usaha ini dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi antara 12 negara paling berdaya saing menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan