KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 41 pelajar Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi kumpulan pertama berjaya menamatkan latihan dan menerima pemakaian pangkat Leftenan Muda dalam istiadat di kampus Gambang di sini hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata penubuhan PASKAM di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memberikan pendedahan mengenai tugas dan tanggungjawab APMM, selain membentuk jati diri serta kepimpinan generasi muda untuk masa depan negara.
“Menjaga keselamatan perairan negara bukan hanya tanggungjawab APMM tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pelajar dan masyarakat. PASKAM menjadi platform memupuk kesedaran isu maritim dan semangat cintakan negara,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UMPSA.
Majlis disempurnakan Mazlan dan turut dihadiri Naib Canselor UMPSA Profesor Dr Yatimah Alias.
Sementara itu, Yatimah berkata penglibatan pelajar dalam badan beruniform seperti PASKAM merupakan wadah strategik untuk melahirkan graduan holistik yang memiliki keseimbangan akademik, sahsiah, disiplin dan kemahiran insaniah.
“Latihan PASKAM bukan sekadar memenuhi keperluan kokurikulum, tetapi membina karakter unggul, daya tahan dan kepimpinan yang diperlukan dalam dunia sebenar,” katanya.
Majlis itu juga menandakan kejayaan fasa pertama PASKAM di UMPSA dan diharap dapat terus melahirkan mahasiswa berilmu serta berperanan aktif sebagai agen perubahan dan pemimpin masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial