BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kedutaan Malaysia Jamin Sokongan Untuk Warga Yang Cedera Dalam Serangan Di Bangkok

09/08/2025 10:56 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 9 Ogos (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Thailand memberi jaminan kepada keluarga dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian di sini pada Khamis bahawa pihaknya akan memantau dengan teliti keadaan mereka.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui, berkata kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil walaupun masih dirawat di unit rawatan rapi.

Bong berkata Gan Xiao Zhen, 27, mengalami luka bakar tahap kedua pada 36 peratus bahagian tubuhnya, merangkumi muka, dada dan lengan, manakala Ong Yik Leong, 26, turut mengalami luka bakar tahap kedua pada bahagian atas badan, meliputi bahagian depan dan belakang. 

“Walaupun ahli keluarga berada di sini atau telah pulang ke Malaysia, kedutaan akan terus memantau perkembangan mangsa bersama pihak hospital,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Police General Hospital, di sini pada Sabtu.

Dua rakyat Malaysia itu, Gan dan teman lelakinya Ong, diserang oleh seorang lelaki yang didakwa mencurahkan cecair pelarut sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri pada kira-kira 10 malam Khamis.

Sementara itu, dalam sesi taklimat kepada ahli keluarga mangsa pada Sabtu, Penolong Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand Seksun Ngawsuwan, berkata kerajaan Thailand akan memperuntukkan sejumlah dana khusus bagi membantu kos rawatan mangsa.

“Kami akan membantu ahli keluarga sedaya mungkin bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar,” katanya.

Beliau menambah kedua-dua mangsa dijangka memerlukan kira-kira sebulan rawatan di Thailand bagi memastikan luka sembuh sepenuhnya tanpa jangkitan.

Ketika ditanya bila mangsa boleh dipindahkan kembali ke Malaysia, Seksun berkata ia bergantung kepada pemerhatian dan cadangan doktor.

“Saya faham ia merupakan cabaran buat ahli keluarga untuk tinggal di sini menjaga orang tersayang. Namun, selagi mereka belum benar-benar pulih, terlalu berisiko untuk memindahkan mereka ke Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Sorawong Thienthong, menyuarakan rasa kesal terhadap insiden yang menimpa dua pelancong Malaysia itu.

Sorawong berkata kementeriannya mengambil serius perkara tersebut dan telah mengarahkan semua agensi di bawahnya, khususnya Polis Pelancong dan agensi keselamatan, untuk segera memberi bantuan dan pengawasan rapi, di samping memperkukuh langkah keselamatan bagi meningkatkan keyakinan semua pelancong yang berkunjung ke Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan