BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perpustakaan Digital Kota Melaka Buka Peluang Pelajar Kuasai Teknologi Maklumat

10/08/2025 04:40 PM

MELAKA, 10 Ogos (Bernama) -- Pelajar di kawasan Parlimen Kota Melaka, khususnya daripada keluarga B40, kini berpeluang menikmati kemudahan pembelajaran moden dan akses teknologi maklumat melalui kewujudan Perpustakaan Digital yang baharu dilancarkan.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata perpustakaan itu membolehkan pelajar menikmati kemudahan pembelajaran moden dengan lebih mudah, terutama bagi mereka yang sebelum ini berdepan kekangan akses kepada teknologi maklumat.

"Perpustakaan digital ini merupakan platform yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran komputer, Internet dan aplikasi digital yang semakin penting dalam dunia pendidikan dan kerjaya masa kini.

"Dengan kemudahan ruang kondusif untuk belajar ini, ia juga memberi manfaat kepada pelajar di lapan sekolah menengah dalam kawasan Kota Melaka untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Perpustakaan Digital Kota Melaka di Pusat Komuniti Kampung Tujuh, Gajah Berang dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong.

Khoo berkata perpustakaan yang mampu memuatkan hingga 100 pelajar pada satu masa itu turut dilengkapi capaian Internet percuma, komputer, perisian pembelajaran serta ruang mesra komuniti yang membolehkan pelajar belajar secara individu atau berkumpulan tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan bagi membolehkan pelajar mengikuti kursus IT, bengkel pengaturcaraan serta pelbagai aktiviti yang mencungkil minat dan bakat mereka dalam bidang teknologi, di samping mengukuhkan kemahiran relevan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

"Kita berharap Perpustakaan Digital Kota Melaka akan melalui transformasi menjadi perpustakaan kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama pemain industri teknologi sekali gus menjadikannya hab ilmu digital yang mampu memperkasa komuniti setempat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan