BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dua Wartawan Al Jazeera Antara Lima Terbunuh Dalam Serangan Israel Di Gaza

11/08/2025 02:15 PM

ISTANBUL, 11 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Pejabat Media Gaza melaporkan bahawa dua wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif dan Mohamed Qraiqea antara lima petugas media yang maut pada Ahad selepas khemah mereka berhampiran Hospital Al-Shifa di barat Bandar Gaza diserang Israel.

Memetik laporan daripada saluran berita yang berpangkalan di Qatar itu, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa di Gaza berkata, "Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif dan Mohamed Qraiqea syahid dalam serangan Israel ke atas khemah mereka," tanpa memberikan butiran lanjut.

Pejabat Media Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan tindakan genosid Israel di Gaza pada 7 Okt 2023 meningkat kepada 237 orang, susulan kematian al-Sharif dan Qraiqea bersama tiga petugas media lain.

Antara yang terbunuh dikenal pasti sebagai jurufoto Ibrahim Dahir dan Moumin Alaywa, serta pembantu jurufoto Mohammed Noufal.

“Pembunuhan ini dilakukan dengan sengaja dan terancang, melalui penyasaran langsung terhadap khemah wartawan di sekitar Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza. Jenayah keji ini turut menyebabkan beberapa wartawan lain cedera,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza, Dr Mohammed Abu Salmiya memberitahu Anadolu bahawa jumlah korban akibat serangan ke atas khemah di hadapan pintu pagar kompleks itu meningkat kepada tujuh orang, termasuk lima petugas media.

Sementara itu, tentera Israel dalam kenyataan mengakui membunuh al-Sharif di Bandar Gaza, namun tidak menyebut mengenai kematian Qraiqea dan tiga wartawan lain dalam serangan sama.

Dalam wasiatnya yang diminta untuk disiarkan selepas kematian beliau, wartawan Al Jazeera Anas al-Sharif menulis: “Ini wasiat saya dan mesej terakhir saya. Jika kata-kata ini sampai kepada anda, ketahuilah bahawa Israel telah berjaya membunuh saya dan membungkam suara saya.

“Allah menjadi saksi bahawa saya telah memberikan segala tenaga dan kekuatan yang saya miliki untuk menjadi penyokong dan suara bagi rakyat saya, sejak saya membuka mata di lorong dan jalan di kem pelarian Jabalia.

“Saya telah merasai kesakitan dalam semua bentuk dan menelan dukacita serta kehilangan berkali-kali.

“Namun saya tidak pernah ragu untuk menyampaikan kebenaran seadanya, tanpa penyelewengan atau pemalsuan, dengan harapan Allah menjadi saksi terhadap mereka yang berdiam diri, yang merelakan pembunuhan kami, yang menyesakkan nafas kami, yang hati mereka tidak terusik dengan jasad-jasad anak-anak dan wanita kami yang bergelimpangan, dan mereka yang tidak menghentikan pembantaian yang menimpa rakyat kami selama lebih setahun setengah.”

Israel kini berdepan kecaman global yang semakin meningkat berhubung perang genosidnya di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan