WELLINGTON, 11 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan New Zealand akan membuat keputusan pada September ini sama ada untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi, kata Menteri Luar Winston Peters pada Isnin, lapor Xinhua.
“Kerajaan akan menimbang dengan teliti kedudukannya pada bulan depan berhubung pengiktirafan Negara Palestin,” kata Peters seperti dipetik dalam kenyataan kerajaan New Zealand.
Beliau berkata New Zealand akan membuat keputusannya berdasarkan penilaian yang teliti, berpandukan prinsip, nilai dan kepentingan negara.
“New Zealand telah menjelaskan sejak sekian lama bahawa pengiktirafan kami terhadap negara Palestin adalah soal bila, bukan jika.
“Malapateka kemanusiaan di Gaza sememangnya menjadi agenda utama global,” kata Peters sambil menambah beliau telah membentangkan taklimat lisan kepada Kabinet mengenai isu itu, dengan perbincangan penuh dijadualkan pada September.
New Zealand, “sebagai penyokong lama penyelesaian dua negara dan penentuan nasib sendiri rakyat Palestin,” akan terus mendesak gencatan senjata dan penyelesaian politik yang membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup aman berdampingan, katanya.
Menteri luar itu menekankan keperluan untuk menilai sama ada syarat keselamatan, politik, diplomatik dan ekonomi bagi sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan sah wujud ketika ini.
Beliau akan membentangkan pendirian New Zealand semasa Minggu Pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada akhir September.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial