BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Tekankan Kepentingan Inovasi, AI Perkukuh Sistem Makanan Di Korea Selatan

11/08/2025 07:49 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menggariskan kepentingan inovasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), dalam memperkukuh sistem makanan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu, disampaikan dalam sesi meja bulat di 10th Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (FSMM ke-10) yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan semalam.

Kenyataan itu memaklumkan Menteri (Mohamad) yang mengetuai delegasi Malaysia, telah turut menekankan keperluan mengenal pasti keutamaan bersama dan memperkukuh kerjasama bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan yang mampan di rantau ini.

“Dalam konteks global, Malaysia amat prihatin terhadap situasi keterjaminan makanan dunia yang semakin meruncing akibat konflik, bencana iklim dan ketidakstabilan ekonomi. Keadaan di Sudan dan Gaza yang kini berdepan krisis kelaparan, serta pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk mendapatkan makanan yang amat membimbangkan.

“Malaysia berdiri teguh bersama komuniti antarabangsa dalam mengecam tindakan ini dan menyeru agar penyaluran bantuan kemanusiaan serta pelaksanaan segera usaha bantuan dipertingkatkan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Di sela-sela mesyuarat tersebut, kenyataan itu memaklumkan Mohamad telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan Song Miryung, yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pertanian antara Malaysia dan Korea Selatan. 

Menurut kenyataan itu, antara perkara utama dibincangkan ialah potensi kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang penyelidikan dan pemodenan sektor pertanian, serta pembangunan modal insan seperti dalam aspek pendaftaran dan pemantauan racun biopestisid dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di dalam pengesanan awal serangan perosak terutamanya tanaman padi. 

Selain itu, Menteri turut menjemput Korea Selatan untuk menghadiri High-Level Advisory Group (HLAG2025) bersempena dengan penganjuran 4th World Irrigation Forum (WIF4) dan 76th International Executive Council (IEC) Meeting of the International Commission on Irrigation and Drainage (ICID) yang akan berlangsung pada September ini di Kuala Lumpur.

Ia bertujuan membentuk dasar bagi menangani kesan perubahan iklim dan peningkatan permintaan terhadap sumber air, melalui penggunaan teknologi serta pengurusan sumber yang efisien dalam sistem pengairan.

KPKM memaklumkan Mohamad juga telah mengalu-alukan penyertaan Korea Selatan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Bertemakan Building a Sustainable Tomorrow, FSMM ke-10 memberi tumpuan kepada tiga bidang keutamaan iaitu Connect, Innovate dan Prosper dan menjadi platform penting untuk pertukaran pandangan dan pengalaman berkaitan inovasi dalam sistem pertanian,  selain membincangkan pendekatan kolaboratif bagi mencapai keterjaminan makanan yang mampan.

Perbincangan turut menekankan aspek kemampanan, inovasi pintar dan penjajaran kesalinghubungan global mengikut keutamaan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dalam membangunkan sistem makanan lestari dan mampan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan