BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengarah Pendidikan Negeri, Pegawai PPD Diarah Lakukan Lawatan Mengejut Ke Sekolah

11/08/2025 09:52 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata malah pengarah dan pegawai berkenaan juga perlu turun ke sekolah berasrama pada waktu malam, bukan sahaja untuk memantau malah mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.

“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu. Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok nature sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru MADANI dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam di sini hari ini, disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mohd Azam berkata kementerian juga mengarahkan pengetua dan guru besar mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan, sebagai peperangan terhadap gejala buli yang diperjuangkan KPM.

Beliau berkata laungan itu bertujuan menanamkan rasa benci akan gejala buli dalam minda dan diri pelajar serta murid.

Mohd Azam berkata pihaknya juga akan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sekolah terutama sekolah asrama, bagi mengekang kejadian buli seperti penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan bilangan warden asrama.

Pada masa sama, beliau juga meminta semua pihak termasuk guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan komuniti setempat supaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan pelajar di asrama terutama pada waktu malam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan