BELANJAWAN 2025 > BERITA

Akta 144 Terus Berkuatkuasa Mengikut Peruntukan Undang-Undang Sedia Ada- Azalina

11/08/2025 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) --  Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) akan terus berkuatkuasa sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Petronas diletakhakkan dengan pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia seperti yang diperuntukkan dalan Akta 144. 

Azalina berkata demikian menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan bagaimana kerajaan Persekutuan akan mempertahankan Akta 144 sebagai teras kedaulatan ekonomi negara dalam industri minyak dan gas berhubung isu tuntutan kerajaan Sarawak dan Petros yang mencabar dan mempertikaikan kedudukan Petronas di bawah Akta tersebut. 

Sementara itu, Azalina berkata Petronas telah memeterai dua perjanjian utama bagi memperkukuh kerjasama dengan negeri-negeri pengeluar iaitu Perjanjian Kolaborasi Komersial dengan Kerajaan Negeri Sabah, dan Perjanjian Penyelesaian Komersial dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menurutnya, kedua-dua perjanjian ini menggariskan kerangka kerjasama komersial antara Petronas dan syarikat milik kerajaan negeri seperti SMJ Energy dan Sabah Energy Corporation di Sabah dan Petros di Sarawak.

"Landskap industri minyak dan gas serta dasar kerajaan negeri masing-masing telah menghasilkan perbezaan struktur kerjasama dari segi pemilikan, pendapatan dan pengagihan keuntungan," kata Azalina. 

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majlis (Warisan-Kota Belud) yang bertanya mengenai perbezaan daripada sudut pemilikan, pendapatan dan pengagihan keuntungan kepada Petronas - SMJ Energy dan Petronas - Petros dan melalui persefahaman atau perjanjian di antara pihak-pihak tersebut.

Azalina berkata faktor utama yang mempengaruhi perbezaan struktur kerjasama termasuk tahap penyertaan ekuiti oleh SMJ Energy dan Petros dalam projek sektor huluan dan hiliran serta struktur kerjasama strategik yang dibentuk antara Petronas dan entiti negeri berkenaan. 

Tambahnya, walaupun pendekatan kerjasama Petronas dengan Sabah dan Sarawak berlandaskan prinsip keterangkuman dan perkongsian nilai bersama, pelaksanaan dan hasilnya mungkin berbeza, bergantung kepada lanskap industri minyak dan gas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan