BELANJAWAN 2025 > BERITA

MQA Perkenal Garis Panduan Artikulasi Program TVET Dengan Bukan TVET

11/08/2025 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan program akademik bukan TVET.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu, bagi membolehkan graduan TVET melangkah ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur, sekali gus membolehkan mereka mencapai pendidikan tahap Sarjana dan Kedoktoran.

“Saya mengucapkan terima kasih MQA, telah bersetuju meluluskan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Inilah pemangkin perubahan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk melahirkan bakat yang sangat berkebolehan dan bertaraf dunia. Kita komited menyediakan laluan TVET yang setaraf dan setanding dengan bidang akademik lain tanpa kompromi kualiti dan kelayakan dalam bidang akademik.

“Tujuannya melahirkan graduan yang diiktiraf di semua sektor industri, sama ada di dalam negara atau di pentas antarabangsa,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia 2025 di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Program Artikulasi merupakan laluan pendidikan untuk lulusan Persijilan Kemahiran Malaysia bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata ledakan Revolusi Keempat (IR 4.0) dan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) menuntut tindak balas pantas dan strategik daripada semua institusi pendidikan, dengan memastikan kurikulum sentiasa kekal relevan serta penyelidikan perlu berimpak tinggi.

Beliau berkata graduan juga perlu dipersiapkan dengan kemahiran masa hadapan sama ada pada aliran akademik ataupun TVET, serta perlu menguasai pemikiran perkomputan, literasi data, analisis kritikal, penyelesaian masalah kompleks, serta kemahiran insaniah yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.

“Saya teruja melihat inisiatif seperti adaptasi kurikulum berorientasikan industri, program baharu seperti Sains Data, Kejuruteraan Robotik, Keselamatan Siber, dan Analitik Perniagaan ditambah lagi kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global bagi membangunkan kurikulum yang future-proof,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu disokong dengan peningkatan program berakreditasi antarabangsa dari Washington Accord bagi kejuruteraan hingga pengiktirafan badan profesional global dalam bidang perakaunan, manakala institut pengajian tinggi swasta menunjukkan kecemerlangan melalui fleksibiliti kurikulum, program niche, dan kolaborasi strategik dengan industri.

“Saya amat yakin jika kekuatan pendidikan awam dan swasta ini kita gembleng bersama, Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan pelajar dunia bukan sahaja kerana kualiti akademiknya, tetapi kerana keberanian dan visinya membina pendidikan tinggi bertaraf dunia,” katanya. 

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan