BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Persekutuan Lulus RM4 Bilion Projek Tebatan Banjir, Pulihara Pantai Di Kelantan

13/08/2025 05:34 PM

KOTA BHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.15 bilion di Kelantan merangkumi 17 projek dalam usaha mengurangkan kejadian banjir serta memulihara pantai.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata ini termasuk pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai benteng pertahanan rakyat dan pelindung harta benda selain menjadi bukti kesungguhan kerajaan untuk menjamin keselamatan rakyat. 

"RTB ini bukan sahaja mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama semua pihak, malah ia juga membuktikan keupayaan kita untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti dalam tempoh yang ditetapkan.

"Oleh demikian, Kerajaan Kelantan amat bersyukur dan merakamkan penghargaan kepada PETRA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya di atas peruntukan pembangunan yang telah diluluskan," katanya ketika berucap pada Majlis Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS 2025 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mohd Nassuruddin berkata beliau juga telah memohon kepada JPS untuk segera memperbaiki segala infrastruktur yang rosak melalui pendekatan yang menyeluruh dan berperingkat susulan kesan banjir besar tidak lama dahulu

"Usaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana akan diperkasakan oleh pihak kerajaan melalui pelan struktur perparitan dan saliran di seluruh kawasan yang terlibat.

"Usaha ini perlu dilaksanakan melalui pembinaan longkang konkrit dan sistem saliran mesra alam  yang lebih moden. Saya berharap dengan adanya Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA) di bandar-bandar utama dapat mengurangkan risiko banjir kilat dan memastikan sistem saliran yang berdaya tahan untuk masa depan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan