BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jurulatih TFC Tidak Puas Hati Keputusan Seri

14/08/2025 10:38 AM

KUALA NERUS, 14 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui kurang berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 yang dicatatkan ketika bertemu PDRM FC, malam tadi.

Beliau berkata kesilapan di bahagian penyudah menyebabkan skuad Penyu terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol di hadapan lebih 6,000 penyokong sendiri.

Selain itu, tempo permainan yang agak perlahan pada awal babak pertama menyebabkan TFC sedikit ketinggalan sebelum bangkit menyamakan kedudukan pada saat akhir separuh masa kedua.

"Untuk perlawanan malam ini, 10 minit pertama rentak permainan kita terlalu perlahan, apabila PDRM FC dah jaringkan gol baharu kita nak bangkit kejar … jadi rekasi itu terlambat.

"Kita juga terutama Yan Mabella mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal. Pemain import juga kurang memuaskan pada malam ini," katanya selepas perlawanan kedua Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Badrul Afzan memuji semangat juang pemain yang berusaha untuk mendapatkan gol kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Malam ini pemain perlu belajar daripada kesilapan dua gol mudah yang kita lepaskan. Kena perbaiki dan cipta kemenangan semula," katanya.

Sementara itu, pengendali PDRM FC Eddy Gapil @ Edwin berkata kesilapan kecil menyebabkan The Cops terlepas peluang untuk membawa pulang tiga mata penuh dari tempat lawan.

Beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buah terutama Henri Doumbia yang memberikan persembahan terbaik untuk pasukan.

"Kita perlu akui bukan mudah untuk datang bermain dengan TFC yang juga antara pasukan terbaik dalam negara. Corak permainan terbuka yang kita lakukan juga menjadi senjata yang berbahaya.

"Secara keseluruhan apa yang saya rancang pemain faham dan laksana dengan baik, cuma kena akui selepas Terengganu buat asakan pada minit ke-75, kita hilang konsentrasi dan mula buat kesilapan kecil," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan