BELANJAWAN 2025 > BERITA

RIUH X ASEAN 2025 Platform Kreatif Terbesar Asia Tenggara - Fahmi

14/08/2025 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures bakal menganjurkan RIUH X ASEAN 2025 bersempena dengan Kepengerusian ASEAN–Malaysia, yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 26 Okt ini di ibu negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata acara kreatif terbesar di Asia Tenggara itu membuka ruang kerjasama rentas negara sekali gus menjana peluang baharu dalam kalangan komuniti kreatif dan usahawan serantau.

“Program ini menghimpunkan elemen seni, kreativiti, muzik dan keusahawanan dari Malaysia serta negara anggota ASEAN, selaras dengan visi ASEAN 2025 yang menekankan perpaduan, keterangkuman dan kelestarian,” katanya pada sidang media RIUH Hangout 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara komponen utama program itu ialah RIUH X ASEAN Marketplace yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Okt dengan menampilkan lebih 200 jenama dan 100 vendor makanan serta minuman dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. 

“Program itu turut menyajikan lebih 40 persembahan pentas, 30 bengkel interaktif dan 20 pengaktifan kreatif yang menjadi platform jaringan industri antara usahawan dengan penggiat kreatif pelbagai negara,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata aktiviti pop-up RIUH Gallery akan diadakan bermula pada 1 Okt di lokasi strategik di sekitar Lembah Klang, merangkumi persembahan muzik indie, komedi, sesi sastera, puisi serta pameran seni visual, bagi memberikan ruang kepada bakat tempatan berkarya dan berinteraksi dengan orang ramai.

Malah katanya, turut diperkenalkan FrequenSEA, iaitu persidangan muzik ASEAN pertama yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Okt.

“Persidangan percuma ini menyasarkan penyertaan lebih 200 peserta termasuk pemuzik, penerbit, pencipta kandungan dan pemimpin industri untuk membincangkan masa depan industri muzik di Asia Tenggara,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata semangat Bulan Kebangsaan turut akan disemarakkan dengan program RIUH MERDEKA 2025 yang kali pertama diadakan selama 30 jam tanpa henti.

Katanya, program itu akan diadakan di Tapak Parkir Monumen Alaf Baharu di Putrajaya dan pengunjung akan disajikan dengan aktiviti berunsur perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni, muzik dan komuniti.

Malah, beliau turut mengarahkan pihak pengurusan untuk memperbanyak jualan menu Rahmah bagi pengunjung menikmati hidangan pada harga berpatutan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan