BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Anggota ASEAN Bekerjasama Erat Tingkat Teknologi Nuklear Selamat, Dikawal Selia

14/08/2025 07:47 PM

JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) -- Malaysia bekerjasama erat dengan negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama bagi memastikan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan dikawal selia di rantau ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pelbagai inisiatif termasuk program pembinaan kapasiti, pertukaran teknikal dan kerjasama strategik, telah memperkukuh kesediaan dan daya tahan serantau terhadap cabaran terkini.

"Pencapaian-pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama anda (anggota ASEAN) selama ini,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia Noraishah Pungut dan Pengarah Institut Penyelidikan Nuklear Filipina Dr Carlo Abundo Arcilla.

Mohammad Yusof berkata Malaysia, sebagai pengerusi ASEANTOM tahun ini, kekal komited sepenuhnya pada matlamat bersama ASEANTOM dan akan terus menyumbang secara aktif sebagai ahli yang berdedikasi.

Beliau berkata ia selaras dengan tema rasmi kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, iaitu Malaysia akan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan setiap warga ASEAN mendapat manfaat daripada kemajuan dan kemampanan rantau ini.

"Di samping menggalakkan pembangunan yang melindungi alam sekitar kita dan memastikan kemakmuran jangka panjang untuk generasi akan datang, semoga kerjasama berterusan kita membuka jalan untuk masa depan yang lebih selamat, lebih inovatif dan lestari untuk semua,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa semangat perpaduan, kepercayaan dan kerjasama yang mentakrifkan ASEAN dan ASEANTOM perlu diteruskan agar keamanan dan kemakmuran rantau ini dapat dikekalkan.

Terdahulu, pada majlis penutup mesyuarat itu, Malaysia secara rasmi menyerahkan jawatan pengerusi ASEANTOM kepada Filipina, menandakan berakhirnya penggal sebagai pengerusi.

Sementara itu, Arcilla berkata Filipina, sebagai pengerusi akan datang, komited untuk bekerjasama dengan semua negara anggota, rakan dialog dan Sekretariat ASEAN.

"Kami mengambil peranan ini dan melakukannya dengan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama.

"Marilah kita terus bekerjasama untuk memastikan rantau kita kekal selamat, terjamin dan bersedia dalam menghadapi cabaran nuklear dan radioaktif yang semakin berkembang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan