BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cadangan Tubuh Rumah Kelab Media Di Kuching Dipertimbangkan

15/08/2025 08:55 AM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan mempertimbangkan cadangan penubuhan sebuah rumah kelab media di sini sebagai pusat pertemuan, perkongsian idea dan ruang santai untuk wartawan serta pengamal media di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata idea itu tercetus hasil perbualannya dengan beberapa wakil media mengenai keperluan ruang khusus untuk mereka berehat dan berinteraksi di luar tugasan rasmi mereka.

Berucap pada Majlis Penghargaan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 di sini malam tadi, beliau berkata cadangan itu boleh direalisasikan dengan kerjasama kerajaan Sarawak, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta.

“Saya sangat menyokong idea ini. Wartawan bekerja hampir 24 jam sehari dan jarang mempunyai cuti tetap. Kadang-kadang mereka tidak sempat pulang ke rumah selepas tugasan, jadi rumah kelab media ini boleh menjadi tempat mereka berkumpul, bertukar idea dan berehat,” katanya.

Beliau berkata rumah kelab itu boleh dilengkapi kemudahan seperti kafe mini, bilik mandi, bilik mesyuarat, ruang sukan ringan dan kawasan riadah yang memberikan keselesaan kepada warga media untuk memenuhi masa rehat mereka yang agak singkat sambil mengekalkan hubungan erat sesama mereka.

Abdullah berkata UKAS dan Persekutuan Wartawan Sarawak juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi merealisasikan cadangan untuk menghantar warga media di negeri ini menjalani latihan peringkat profesional bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Beliau berkata turut dibincangkan ialah pelaksanaan skim kebajikan khas untuk warga media termasuk perlindungan insurans, kemudahan pinjaman perumahan, bantuan perubatan dan bantuan-bantuan lain yang bersesuaian bagi meringankan beban kewangan wartawan serta keluarga mereka.

“Diharapkan mungkin menjelang hujung tahun ini kita dapat tetapkan beberapa berita baik untuk rakan media,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan satu projek sukarela melibatkan petugas UKAS dan para wartawan untuk membersihkan kawasan Dataran Pahlawan di sini pada 24 Ogos ini bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air.

“Program ini sebagai tanda sokongan media Sarawak dan penghargaan kepada pahlawan dan pejuang kemerdekaan kita. Kita sangat berterima kasih atas perjuangan dan pengorbanan mereka yang membolehkan kita menikmati suasana yang tenang dan aman di Bumi Kenyalang dan di Malaysia ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan