BELANJAWAN 2025 > BERITA

RHB IB Kekalkan Unjuran KDNK Malaysia Pada 4.2 Peratus, Dengan Potensi Meningkat 4.4 Peratus

15/08/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2025 pada kadar 4.2 peratus dengan potensi peningkatan sehingga 4.4 peratus.

“Pertumbuhan pada separuh kedua 2025 (S2 2025) dijangka sederhana kepada 4.2 peratus (S1 2025: 4.4 peratus) berikutan aktiviti yang menambah belian lebih awal mula berkurangan dan kesan tarif dapat dirasai secara beransur-ansur.

“Bagaimanapun, beberapa faktor sepatutnya menyokong prospek berkenaan; iaitu panduan yang lebih jelas mengenai kadar tarif Amerika Syarikat (AS), meredakan ketegangan perdagangan AS–China, langkah rangsangan domestik dan perbelanjaan pengguna serta pelaburan yang kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu berkata pengurangan tarif timbal balik AS ke atas Malaysia baru-baru ini (daripada 25 peratus kepada 19 peratus) dan lanjutan gencatan perdagangan AS–China sehingga 10 November seharusnya memberikan kelegaan jangka pendek dan meningkatkan sentimen sektor pembuatan.

“Di dalam negeri pula, pemberian tunai Merdeka berjumlah RM2.0 bilion dijangka memberi rangsangan sederhana kepada penggunaan, menambah kira-kira 0.2 mata peratusan kepada KDNK untuk 2025 berdasarkan kecenderungan mengguna mengikut margin sebanyak 0.5 dan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) antara 5–10 peratus,” katanya.

RHB IB berkata unjurannya sudah mengambil kira risiko penurunan, dengan struktur tarif AS yang disemak semula dianggarkan mengurangkan sehingga 0.43 mata peratusan daripada unjuran 4.5 peratus sebelumnya.

“Kami kekal berwaspada terhadap potensi tekanan ke atas perdagangan dan pembuatan yang disebabkan perubahan dalam dasar tarif AS dan kemungkinan pengenalan langkah-langkah khusus mengikut sektor, terutamanya terhadap semikonduktor,” katanya.

Walaupun perkembangan luar negara memerlukan prospek yang berhati-hati, ia berkata ekonomi domestik Malaysia terus menunjukkan daya tahan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang teguh dan aktiviti pelaburan yang stabil.

“Langkah-langkah strategik di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI — termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 — dijangka merangsang aliran pelaburan dalam tempoh sederhana,” katanya sambil menambah beberapa industri berorientasikan domestik kekal terlindung daripada ketidaktentuan global.

“Sektor-sektor seperti peruncitan dan barangan pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan utiliti banyak disokong oleh permintaan tempatan serta kurang bergantung kepada persekitaran luaran.

“Sebagai contoh, sektor runcit berkemungkinan terus mendapat manfaat daripada pasaran buruh yang kukuh dan pendapatan isi rumah yang meningkat, manakala sektor pembinaan dijangka memperoleh momentum daripada aktiviti berterusan dalam segmen bukan kediaman, perdagangan khas dan kediaman,” tambahnya.

Terdahulu hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat mengekalkan unjuran KDNK 2025 antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan hasil daripada rundingan tarif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan