BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dunia Iktiraf Peranan Malaysia Dalam Usaha Damai Thailand-Kemboja - PM Anwar

16/08/2025 02:16 PM

LARUT, 16 Ogos (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha pendamaian antara Thailand dan Kemboja susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara diiktiraf dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata walaupun ada pihak tertentu yang enggan mengiktiraf peranan tersebut, hakikat bahawa negara terbabit memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk memudah cara proses perdamaian membuktikan penghormatan tinggi terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara ini.

“Syukur Alhamdulillah, politik kita stabil, orang menghormati pembangunan ekonomi kita. Bila berlaku pergaduhan, mereka menyerahkan usaha perdamaian kepada kita. Satu dunia iktiraf, walaupun ada beberapa orang di Parlimen yang tidak mahu iktiraf, itu tidak mengapa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI: Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard D. Kagan dilaporkan berkata Malaysia memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja melalui mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Edgard berkata penganjuran mesyuarat berkenaan membuktikan kepimpinan Malaysia dalam mempertemukan kedua-dua negara berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata hubungan yang erat Malaysia dengan negara luar memberi manfaat besar termasuk dalam meningkatkan peluang ekonomi tempatan di negara tersebut. 

"...peperangan di antara Kemboja dengan Thailand, susu Thailand tak boleh masuk ke Kemboja, tetapi susu Farm Fresh telah masuk ke Kemboja.

"Dan saya beritahu, ini kerana hubungan kita dengan Thailand dan Kemboja baik. Jika (Farm Fresh) mahu membuka ladang di sana (Thailand), kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan sentiasa menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara termasuk industri tenusu tempatan.

Melahirkan rasa bangga dengan pencapaian syarikat tenusu Farm Fresh Bhd (Farm Fresh), beliau berkata peranan syarikat itu dalam menghasilkan produk tenusu, menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengembalikan keuntungan kepada masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) wajar dicontohi.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Azmi Zainal berkata kompleks Farm Fresh Perak seluas 828 ekar kini mempunyai 4,300 lembu tenusu yang menghasilkan 22,000 liter susu sehari. 

"Dalam setahun, kompleks ini menghasilkan 10 juta liter susu menjadikan ladang susu terbesar dan paling produktif di negara ini," katanya yang turut memaklumkan bahawa ladang tersebut mempunyai 150 orang pekerja tempatan yang sebahagian besarnya berusia bawah 30 tahun. 

Selain mengeluarkan susu sendiri, syarikat itu turut membeli susu daripada penternak kecil tempatan pada harga yang kompetitif.

"Melalui CSR, tahun lalu kita menyalurkan biasiswa kepada 500 pelajar STPM dan mulai tahun ini, akan melaksanakan program tuisyen matematik untuk sekolah rendah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan