BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Perkukuh Komitmen Teknologi Nuklear Aman Melalui CTBT

16/08/2025 03:09 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan teknologi nuklear untuk tujuan aman melalui Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 serta usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memastikan teknologi itu dibangunkan secara selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.

Agensi Nuklear Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT) yang ditandatangani Malaysia pada 23 Julai 1998 dan diratifikasi pada 17 Jan 2008.

“Sejak itu, Nuklear Malaysia selaku Pihak Berkuasa Kebangsaan CTBT mengendalikan dua kemudahan utama di bawah rangka kerja CTBT Organisation (CTBTO), iaitu Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Cameron Highlands dan Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) di Bangi.

“Kedua-dua kemudahan ini berperanan mengesan radionuklid daripada letupan nuklear global selain menyediakan maklumat seismik, infrasound dan hidroakustik bagi tujuan saintifik serta menyokong Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Penglibatan aktif Malaysia dalam CTBT turut diiktiraf Suruhanjaya Persediaan CTBTO menerusi lawatan rasmi Setiausaha Eksekutif CTBTO Dr Robert Floyd ke Malaysia dari 13 hingga 18 Ogos.

Sepanjang lawatan, beliau mengunjungi RN42, MY-NDC serta mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi MOSTI bagi membincangkan kerjasama memperkukuh kapasiti teknologi CTBT di negara ini.

Floyd turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Luar Negeri berhubung peranan CTBT yang selaras dengan pendirian Malaysia mengenai pelucutan senjata nuklear serta keamanan serantau dan global.

Bersempena lawatan itu, Nuklear Malaysia turut menganjurkan Kolokium Kebangsaan CTBT bagi memberi pendedahan kepada pemegang taruh, institusi penyelidikan dan universiti mengenai manfaat data CTBT kepada keselamatan, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan