Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Penggunaan platform digital bukan sahaja dapat mengekalkan operasi kewangan mikro malah juga mengembangkannya sejak pandemik COVID-19, kata Pengasas Grameen Bank, Prof Dr Muhammad Yunus.
Yunus, yang juga Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh berkata peralihan kepada sistem digital bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya berlaku sebagai tindak balas terhadap sekatan semasa pandemik.
Perjumpaan mingguan Grameen Bank untuk pembayaran pinjaman, permohonan serta sokongan kumpulan tidak lagi dapat diadakan secara bersemuka ketika itu.
“Keadaan itu bukan sesuatu yang dirancang. COVID-19 memaksa kami beralih kepada kaedah dalam talian.
“Jadi, peminjam mula menggunakan telefon dan pemindahan digital untuk pembayaran balik, manakala perbincangan kumpulan mingguan dilakukan menerusi Zoom,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Temu bual itu diketuai oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, bersama Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Ekonomi Kisho Kumari Sucedaram.
Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu berada di Malaysia dari 11 hingga 13 Ogos lepas atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yunus berkata peralihan kepada kaedah digital terbukti begitu berkesan sehingga selepas pandemik berakhir manakala peminjam dan kakitangan Grameen tidak kembali sepenuhnya kepada pertemuan fizikal.
Beliau memberi contoh seorang kakitangan Grameen Bank yang bertanggungjawab mengutip bayaran pinjaman bekerja dari Norway namun terus bekerja menjalankan tugasnya dengan lancar menerusi platform dalam talian.
“Saya kagum kerana setiap perkara dilakukan secara maya namun tetap lengkap dan berkesan,” katanya.
Grameen Bank, diasaskan pada 1983, merupakan pelopor mikro kredit tanpa cagaran untuk memperkasakan golongan miskin, khususnya wanita, dan kini mempunyai lebih sembilan juta peminjam di Bangladesh.
Yunus berkata penerimagunaan teknologi digital oleh bank itu kini memberi inspirasi kepada program mikro kredit lain di seluruh dunia.
Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengadaptasi model Grameen melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1987, yang sehingga kini terus menyediakan pembiayaan berskala kecil kepada isi rumah berpendapatan rendah.
“(Pendigitalan) berlaku di Grameen tanpa dirancang, ‘dipaksa’ oleh keadaan semula jadi dan kini program lain dalam mikro kredit turut mencontohi langkah tersebut,” kata ahli ekonomi dan usahawan sosial berusia 85 tahun itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial