BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Rangkul Dua Gelaran Juara Badminton Cabaran Antarabangsa 2025

17/08/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Malaysia muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 selepas merangkul dua gelaran di Arena Badminton Perak, Ipoh, Perak hari ini.

Skuad negara berjaya menjuarai acara beregu campuran dan perseorangan lelaki, namun terlepas peluang meraih gelaran ketiga dalam acara beregu lelaki.

Pada aksi final beregu campuran, pasangan bukan pilihan Tan Zhi Yang-Nicole Tan meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan gandingan Indonesia Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana.

Beregu negara yang sebelum ini mengejutkan pasangan pilihan utama Indonesia Zaidan Arrafi Awal Nabawi-Jessica Maya Rismawardani mengesahkan kemenangan dalam masa lebih 30 minit dengan keputusan 16-14, 15-10.

Sementara itu, acara perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan sesama pemain negara apabila juara Terbuka Slovenia Eogene Ewe, 20, menewaskan Jan Jireh Lee.

Selepas tewas 8-15 pada set pertama, Eogene selaku pemain pilihan kedua bangkit mempamerkan aksi bertenaga untuk mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 15-7, 15-13.

Namun, misi Malaysia menambah koleksi kejuaraan dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian apabila pasangan pilihan kedua Muhammad Faiq-Lok Hong Quan yang juga juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia tahun lepas, tewas 7-15, 9-15 kepada pilihan utama Jepun Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate dalam tempoh 26 minit.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan