BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kementerian Komunikasi Junjung Titah Agong Bendung Budaya Buli - Fahmi

18/08/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi komited menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar budaya buli dibendung sejak di peringkat sekolah rendah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini berkata kementerian melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.

Beliau berkata tindakan susulan rentas kementerian turut digerakkan bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.

Fahmi berkata kempen itu juga mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat.

“Patik menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.

“Titah Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” katanya.

Menurut Fahmi, titah Sultan Ibrahim sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan menangani isu buli dengan lebih tegas.

Beliau berkata kementerian akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati serta mengamalkan nilai murni sejak kecil.

“Saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli.

“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh, kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” kata Fahmi.

Yang di-Pertuan Agong hari ini menitahkan agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Seri Paduka Baginda bertitah, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Sultan Ibrahim bertitah, buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan