BELANJAWAN 2025 > BERITA

MITI Laksana Kawalan Import Sisa Plastik, Pensijilan PCR Sokong Ekonomi Kitaran

18/08/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensinya, SIRIM, memperkasakan langkah pengawalan import sisa plastik dan melaksanakan Pensijilan Bahan kitar semula pascapengguna (PCR) untuk memperkukuh ekonomi kitaran dalam sektor perindustrian.

Kementerian itu menjelaskan usaha tersebut bertujuan memastikan sumber sisa plastik yang diimport adalah berkualiti tinggi untuk digunakan semula dalam proses pembuatan.

“Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah asli dan meminimumkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan,” menurut MITI dalam jawapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

MITI menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai langkah untuk mengawal pengimportan sekerap plastik secara berperingkat.

Ahli Parlimen itu juga bertanya mengenai sama ada pensijilan bahan PCR seperti oleh SIRIM sedang diwajibkan atau akan diwajibkan melalui peraturan pelesenan tempatan.

MITI memaklumkan mulai 1 Julai, 2025, kerajaan memperkasakan kawal selia pengimportan sisa plastik ke Malaysia, dengan pengimportan sisa plastik berkod tarif HS 39.15 adalah tertakluk kepada pengeluaran “Certificate of Approval” (COA) oleh SIRIM berdasarkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2025.

SIRIM juga melaksanakan pemeriksaan dan mengeluarkan COA dengan kawalan menyeluruh di pintu masuk negara melalui syarat ketat seperti Lesen Pengilang (ML) atau Surat Pengesahan Dikecualikan ML (ICA-10) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), tambah kementerian itu.

MITI menambah SIRIM turut melakukan pemeriksaan prapenghantaran di negara asal bagi setiap penghantaran, audit tahunan di premis kilang dan penyediaan jaminan bank, sebagaimana yang digariskan dalam garis panduan tersebut.

Kementerian itu menjelaskan pemerkasaan kawalan import sisa plastik melalui mekanisme COA dijangka dapat menyokong lagi pembangunan industri dalam negara di samping mewujudkan keseimbangan ekonomi dan alam sekitar melalui mekanisme kawalan efektif.

Usaha itu juga dapat mewujudkan satu rantaian bekalan yang lebih lestari selaras dengan hasrat kerajaan supaya sektor pembuatan mengamalkan konsep pengeluaran mampan dan mengamalkan ekonomi kitaran, tambahnya.

“Langkah-langkah ini dilihat dapat memberi peluang kepada industri tempatan untuk mengatur strategi sewajarnya seiring dengan hala tuju sektor pembuatan seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kerangka Dasar Ekonomi Kitaran bagi Sektor Pembuatan,” menurut MITI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan