BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPKT Laksana Kajian Kebolehlaksanaan RUU Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal Plastik

18/08/2025 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Ekonomi Kitaran bagi sisa pepejal termasuk plastik bagi membolehkan pelaksanaan ekonomi kitaran bagi sisa pepejal secara menyeluruh di negara ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata langkah itu selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal yang dilancarkan KPKT pada 6 Ogos 2024 sebagai hala tuju dan rujukan pembangunan ekonomi kitaran di Malaysia.

Beliau berkata KPKT secara progresifnya telah mula beralih kepada model ekonomi kitaran yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi selain mengutamakan perlindungan alam sekitar selari dengan komitmen ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Inisiatif ekonomi kitaran yang dilaksanakan memfokus kepada usaha pengurangan penjanaan sisa pepejal termasuk penggunaan plastik sekali guna yang dapat membantu mengurangkan jumlah janaan sisa seterusnya kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sepertimana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Melalui Akta 672, KPKT sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan bagi memastikan amalan pengurusan sisa pepejal yang mampan termasuk pengurusan semua jenis sisa plastik,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Nga berkata di bawah RMK13, pengurusan sisa pepejal akan diperkasa melalui pemantapan tadbir urus, peralihan kepada pendekatan lebih bersepadu, berteknologi tinggi dan mampan serta dilengkapi infrastruktur kitar semula moden ke arah mencapai ekonomi kitaran yang mampan selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara sedang melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Akta 672 termasuk peluasan teknologi Loji Sisa kepada Tenaga (WtE) yang terbukti mampu mengurangkan jumlah sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan sehingga 85 peratus, dengan baki abu sekitar 15 peratus yang boleh digunakan semula sebagai bahan binaan atau diuruskan secara selamat.

“Sehingga kini, rancangan pembinaan 18 loji WtE di seluruh negara yang sedang giat dilaksanakan serta dijangka menyumbang kepada 600 MW kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2040, seiring sasaran negara mencapai 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050," katanya.

Mengenai isu tapak pelupusan sampah haram, Nga berkata KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan 3,036 penutupan tapak sampah haram dan operasi pembasmian pada 2024 serta 2,679 operasi setakat Julai 2025.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 51 kes telah didakwa di mahkamah dan disabit kesalahan dengan jumlah denda keseluruhan melebihi RM897,000.

“Bagi memperkasakan penguatkuasaan dan kawal selia di bawah RMK13, KPKT melalui SWCorp akan menyediakan kenderaan peronda bagi meningkatkan kualiti pemantauan perkhidmatan di kawasan tumpuan pelancong dan hotspot sampah haram,” katanya.

Beliau juga berkata dalam operasi khas Ops Haram J bermula pada 1 Ogos 2025 pula, sebanyak enam tangkapan dan sitaan lori telah berjaya dilaksanakan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan