BELANJAWAN 2025 > BERITA

Piala FA: Kemenangan Hanya Permulaan, Perlu Masa Bentuk Skuad Lebih Mantap - Nidzam Jamil

19/08/2025 09:12 AM

SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Mohd Nidzam Jamil menyifatkan kemenangan bergaya terhadap PDRM FC malam tadi sebagai satu permulaan yang baik, namun masih ada ruang perlu diperbaiki bagi membentuk skuad lebih mantap. 

Meskipun keputusan itu memberi isyarat positif, beliau berkata perjalanan skuad kendaliannya masih panjang dan memerlukan lebih banyak masa untuk berada pada tahap terbaik.

“Ini baru minggu kelapan atau sembilan sejak pramusim dan ini minggu kesembilan kita bersama, bagaimanapun ia keputusan yang baik (capai kemenangan).

“Jadi, saya percaya kita ada proses yang panjang untuk menjadikan pasukan ini lebih baik. Kita perlukan masa,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan Skuad Jang membelasah PDRM FC 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini malam tadi.

Beliau berharap pasukannya terus mempamerkan prestasi konsisten pada setiap perlawanan selain yakin NSFC berupaya tampil sebagai sebuah pasukan yang mampu bersaing sekali gus mengekalkan kepercayaan penyokong.

“Saya belum benar-benar puas hati dengan perlawanan itu, apa yang berlaku di padang dengan keputusan diraih, itu perkara berbeza, tapi saya rasa kita perlu perlu bermain lebih baik lagi untuk akan datang,” katanya.

Mengenai pertembungan menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super yang dijadualkan pada Ahad ini, Nidzam berkata masih banyak aspek perlu diperbaiki dalam tempoh beberapa hari menjelang  perlawanan. 

Sementara itu, pengendali PDRM FC Eddy Gapil akur dengan kekalahan itu dan mengakui pasukannya sukar untuk bangkit selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal babak pertama sekali gus menyaksikan gawang mereka terus dibolosi.

“Memang kesilapan pemain kita agak lalai, dalam tempoh 10 minit dibolosi dengan ada pemain dilayangkan kad merah, jadi sukar untuk comeback, tapi saya bagi kredit kepada keseluruhan pemain, saya percaya mereka telah buat yang terbaik,” katanya sambil menambah akan menebus kekalahan pada perlawanan seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan