PARIT, 19 Ogos (Bernama) -- Cadangan pembinaan Kompleks Sukan Seri Iskandar, dekat sini diharap mendapat perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai antara projek keutamaan untuk pembangunan sukan di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata usaha membangunkan projek itu digerakkan sejak 2018 dan kini beliau meneruskan apa yang dimulakan pemimpin terdahulu bagi melihat rancangan itu direalisasikan.
“Beberapa siri lawatan tapak telah dijalankan bersama Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas menyantuni 68 peserta Konvoi Merdeka Klasik Mercedes 2025 di Dataran Cempaka Sari dekat sini hari ini.
Khairudin berkata antara usaha yang telah dimulakan termasuk penilaian kesesuaian lokasi, namun cadangan tapak yang dikemukakan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah memerlukan kos rawatan tanah yang agak tinggi.
Beliau berkata jika lokasi sudah dikenal pasti dan rawatan tanah selesai dilakukan, permohonan penuh dapat dikemukakan untuk diangkat dalam Rancangan Pembangunan (RP) RMK13 dengan pihaknya telah turun padang sebanyak dua kali bersama KBS, JBSN Perak dan pegawai daerah untuk menilai tapak utama serta tapak alternatif.
Khairudin berkata pembinaan kompleks itu diharap dapat memenuhi impian penduduk di Perak Tengah untuk memiliki sebuah pusat sukan bersepadu yang mampu menjadi venue untuk acara di peringkat negeri dan kebangsaan sekali gus meningkatkan lagi imej daerah itu sebagai hab pembangunan baharu di Perak.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata KBS sedang bekerjasama dengan Kerajaan Perak bagi mengenal pasti tapak alternatif cadangan pembinaan kompleks sukan di Seri Iskandar dengan permohonan projek itu dijangka dibawa semula untuk dipertimbangkan dalam RMK13, iaitu sekitar hujung tahun ini hingga tahun hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial