KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah membuka pintu pagar Padang Merbok bagi membolehkan orang ramai memanfaatkannya sebagai ruang rekreasi bersama keluarga dan komuniti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata Padang Merbok yang menyimpan pelbagai nilai sejarah wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk aktiviti riadah rakyat selaras dengan visi Bandar CHASE yang mengangkat konsep Healthy City (bandar sihat).
“Sebentar tadi saya turun sendiri ke Padang Merbok setelah menerima makluman bahawa kawasan ini ditutup daripada kegunaan awam. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tindakan tersebut. Justeru, saya telah mengarahkan DBKL untuk membuka pintu pagar Padang Merbok kepada orang ramai," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Zaliha berkata DBKL turut diminta menambah baik prasarana asas termasuk sistem pencahayaan, tandas awam dan kemudahan lain yang lebih mesra pengunjung sebagai tanggungjawab sosial kepada warga kota.
“Selain itu, saya minta DBKL untuk menganjurkan program-program yang bersesuaian bagi menghidupkan kembali Padang Merbok. Langkah ini penting supaya kawasan ini terus dimanfaatkan oleh rakyat secara tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata turut dicadangkan pembukaan sebuah kafe sebagai tarikan baharu supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus menjadikan Padang Merbok antara ikon riadah utama di Kuala Lumpur.
“DBKL diminta meneliti semua perkara ini dan membentangkan semula kepada saya dalam masa terdekat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial