NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama-CMG) -- Pertemuan Wakil Khas China-India ke-24 mengenai isu sempadan berlangsung di sini pada Selasa.
Wakil khas China, Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) merangkap Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat PKC, Wang Yi bersama Penasihat Keselamatan Negara India, Doval bertukar-tukar pandangan mengenai isu sempadan kedua-dua negara dan mencapai 10 konsensus yang dianggap kondusif.
Kedua-dua delegasi memberi penilaian positif terhadap kemajuan pelaksanaan kata sepakat yang dicapai pemimpin China dan India dalam pertemuan mereka di Kazan, Rusia pada Oktober tahun lalu, serta menegaskan kawasan sempadan kedua-dua negara kekal aman sejak berlangsungnya pertemuan wakil khas kali ke-23.
China dan India juga mengulangi kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan, di samping menekankan rundingan dan persahabatan sebagai penyelesaian kepada isu-isu berkaitan.
Langkah itu dilihat penting bagi mendorong perkembangan hubungan dua hala secara keseluruhan.
Kedua-dua pihak turut menegaskan keperluan mencari rangka penyelesaian isu sempadan yang adil, rasional dan boleh diterima kedua-dua pihak, berdasarkan perjanjian berprinsip serta panduan politik yang ditandatangani pada 2005.
Antara konsensus yang dicapai termasuk menubuhkan kumpulan pakar penentuan garis sempadan di bawah rangka kerja Mekanisme Perundingan dan Penyelarasan Hal Ehwal Sempadan China-India (WMCC), menubuhkan satu lagi kumpulan kerja di bawah rangka WMCC untuk meningkatkan keberkesanan tadbir urus di kawasan sempadan, mewujudkan mekanisme rundingan peringkat jeneral mengenai urusan di seksyen timur dan tengah sepanjang sempadan serta mengadakan rundingan peringkat jeneral mengenai urusan di seksyen barat bagi pusingan baharu secepat mungkin.
Selain itu, kedua-dua negara menekankan peranan saluran diplomatik dalam menangani urusan ketenteraan di sempadan, bertukar pandangan mengenai kerjasama sungai rentas sempadan, memanfaatkan mekanisme pakar sungai rentas sempadan, serta mengekalkan komunikasi berhubung pembaharuan memorandum persefahaman mengenai pelaporan banjir, di samping berkongsi maklumat hidrologi kecemasan berdasarkan prinsip kemanusiaan, membuka semula tiga pasar tradisional di kawasan sempadan, iaitu Renqinggang-Changu, Puran-Gongji dan Jiuba-Nanjia, serta menjadualkan pertemuan kali ke-25 wakil khas di China pada 2026.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial