KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tiada rancangan untuk menukar status Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) sebagai bank koperasi kepada bank komersial, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata ketika ini Bank Rakyat kekal sebagai bank koperasi dan sebarang keputusan untuk menukar status itu bergantung kepada ahli-ahlinya serta prosedur lain.
“Ia melibatkan beberapa peringkat kelulusan sekiranya ia beralih kepada bank komersial, pertama menerusi mesyuarat agung ahli-ahli, keduanya Bank Rakyat juga tertakluk kepada Akta Bank Negara di bawah Bank Negara (BNM).
“Selain itu, sebahagian proses lain perlu diproses Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), apa yang boleh saya sahkan Bank Rakyat kekal sebagai satu (bank) koperasi … belum ada perancangan ke arah itu (tukar kepada bank komersial),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bangun mencelah untuk meminta penjelasan berhubung laporan media mengenai hasrat menjadikan Bank Rakyat sebagai bank komersial.
Dalam pada itu, Ewon berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membangunkan badan kawal selia dan kerangka perundangan yang bersesuaian bagi akreditasi perusahaan sosial (SE) dalam Fasa 2 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2029 (SEMy2030) untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Beliau berkata proses penarafan SE telah diperkenalkan sejak 2019 dan hingga kini masih dilaksanakan.
“Hingga Ogos 2025, terdapat 520 entiti perniagaan termasuk PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan koperasi yang telah menerima penarafan sebagai SE bagi tiga tahap penarafan, iaitu Perusahaan Sosial Diakreditasi (SE.Ac), Perusahaan Sosial Asas (SE.B) dan Tunas Perusahaan Sosial (Tunas SE),” katanya.
Berhubung koperasi veteran tentera, Ewon berkata bagi 2024, terdapat 82 koperasi veteran tentera telah berdaftar dengan SKM melibatkan 9,059 ahli, dengan modal syer terkumpul berjumlah RM2.5 juta, jumlah aset sebanyak RM10.3 juta dan perolehan bernilai RM696,470.00.
Pada masa ini, beliau berkata koperasi veteran tentera yang ada hanya berskala mikro dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan merangkumi perladangan kelapa sawit, pertanian, sewaan, pelaburan dan perkhidmatan.
“Selaras dengan prinsip koperasi, KUSKOP dan SKM tiada halangan sekiranya Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam berkongsi kepakaran serta operasi perniagaannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial