KUALA LUMPUR, Aug 20 (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menegaskan semula bahawa tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan penganjuran MotoGP Malaysia diteruskan hingga selepas 2026 dan bukannya kemungkinan untuk mengembalikan Formula 1.
Susulan kekeliruan yang timbul daripada laporan media, SIC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kenyataan terbaharu Ketua Pegawai Eksekutifnya Azhan Shafriman Hanif merujuk khusus kepada pembaharuan kontrak MotoGP Malaysia.
“Formula 1 kekal sebagai sebahagian daripada sejarah penting kami, namun usaha untuk mendapatkan kembali hak penganjurannya terbukti rumit dan memerlukan kos yang tinggi.
“Keutamaan kini ialah mempertahankan MotoGP, yang terus mendapat sambutan hangat daripada peminat di Malaysia dan kekal lebih mudah diakses dari segi penonton mahupun penganjuran,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod kontrak semasa bagi Malaysia menganjurkan MotoGP adalah hingga 2006.
Sementara itu, dalam kenyataan sama SIC memaklumkan akan terus komited bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dorna Sports SL dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kesinambungan penganjuran acara berprestij itu, yang juga acara sukan antarabangsa paling lama dianjurkan di negara ini.
“SIC akan terus menyediakan data dan pandangan menyeluruh mengenai impak dari aspek ekonomi, pelancongan dan pembangunan bagi menyokong proses membuat keputusan mengenai masa depan MotoGP di Malaysia.
“Kita amat menghargai minat yang ditunjukkan oleh orang ramai serta pihak berkepentingan dalam hal ini dan sekali lagi menegaskan komitmen untuk memastikan masa depan MotoGP di Malaysia demi manfaat peminat, rakan kongsi dan negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial