BELANJAWAN 2025 > BERITA

Misi Chamrun Digital Tangani Jurang penyampaian Perkhidmatan Dengan Penyelesaian AI

20/08/2025 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Chamrun Digital Malaysia membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) Agentic yang memfokuskan untuk menangani cabaran utama sektor awam seperti halangan operasi dan jurang penyampaian perkhidmatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Dr Behrang Parhizkar.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pegawai kerajaan dalam pelbagai penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi yang pada masa ini dalam peringkat perbincangan, reka bentuk dan pelaksanaan awal.

“Inisiatif ini memperlihatkan bagaimana AI Agentic boleh meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan langkah membuat keputusan berasaskan bukti dan menambah baik perkhidmatan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui kerjasama dengan pegawai kerajaan dan syarikat teknologi global seperti Google, Microsoft dan AWS, Chamrun Digital sedang merealisasikan idea-idea berani kepada penyelesaian AI yang boleh dilaksanakan.

Antara inisiatif utama adalah memberikan tumpuan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan, dengan sistem pintar tanaman berpusat dikuasakan AI sedang dibangunkan untuk meramalkan trend permintaan bekalan, mengoptimumkan perancangan import-eksport dan memperteguh keterjaminan makanan.

Satu lagi inisiatif adalah pembantu AI untuk memperibadikan penglibatan pengunjung, memperkemas pengurusan acara dan mengoptimumkan strategi promosi pelancongan.

“Sebaik sahaja selesai, penyelesaian ini akan diuji melalui projek perintis yang disasarkan, integrasi rentas agensi yang lancar dan akhirnya akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Kami sangat menekankan ketelusan dan tadbir urus AI yang beretika untuk memastikan kejayaan jangka panjang dan kepercayaan awam.

“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, penyelesaian ini berpotensi untuk merevolusikan perkhidmatan awam, memberi impak dan menambah baik kehidupan jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan