BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelaburan Di N.Sembilan Terus Kukuh Setakat Pertengahan Tahun Ini - Aminuddin

20/08/2025 06:30 PM

SEREMBAN, 20 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yakin negeri ini berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini berikutan banyak pelaburan baharu yang masuk bagi tempoh enam bulan 2025.

Beliau berkata Negeri Sembilan juga dijangka menerima pelaburan daripada sebuah syarikat semikonduktor China pada separuh kedua tahun ini dan syarikat Gobuilders Netsoft Sdn Bhd yang melabur pada suku pertama tahun ini.

Kerajaan negeri juga akan melancarkan satu projek di kawasan perindustrian baharu berskala besar pada Oktober bersempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka dibangunkan di koridor Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0, kata beliau.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sebuah kilang baharu pembuatan kenderaan perisai nasional sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan yang berlangsung pada Sabtu ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah pelaburan bagi separuh pertama tahun ini, beliau berkata jumlah sebenar hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana sebahagian projek masih menunggu kelulusan di peringkat kerajaan Pusat.

Aminuddin berkata meskipun negara berdepan dasar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS), namun sehingga kini tiada pelabur asing menarik diri malah Negeri Sembilan terus menerima kemasukan pelaburan baharu.

"Setakat ini, belum ada pelabur asing yang menarik diri atau menghentikan pelaburan mereka di sini. Tarif yang dikenakan tidak memberi kesan besar kepada aliran pelaburan kerana kadarnya tidak terlalu tinggi, justeru Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelabur di rantau ini.

“Sehubungan itu, semakin ramai pelabur datang ke negara ini dan ia memberikan keyakinan kepada kita bahawa Negeri Sembilan juga akan terus menjadi antara lokasi pilihan pelaburan," katanya.

-- BERNAMA 


 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan