KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- S P Setia Bhd (Setia) telah memeterai syarat kerjasama utama dan perkongsian strategik dengan Ally Logistic Property Co Ltd (ALP) Taiwan bagi membangunkan gudang bina untuk pajakan di atas plot seluas 16.99 hektar di Setia Alaman di Klang.
Setia berkata Taman Perindustrian Setia Alaman yang terletak lima kilometer dari pembangunan perbandaran mercu tanda kumpulan itu, Bandar Setia Alam, merupakan sebahagian daripada pelan induk tapak eco-industri Setia, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM4.0 bilion.
“Ini menandakan perkongsian pertama Setia dengan ALP, menunjukkan komitmennya bagi mencipta nilai jangka panjang, inovasi dan kemampanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pembangunan itu akan menampilkan dua gudang pintar dilengkapi dengan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik, iaitu masing-masing satu bagi logistik rantaian penyejukan termaju dan penyimpanan ambien berkecekapan tinggi.
Menurut kumpulan itu lagi, ia menyediakan kira-kira 1.5 juta kaki persegi dalam keluasan lantai dan menawarkan kapasiti bagi menempatkan150,000 palet.
Selain itu, Setia berkata projek gudang pintar itu dijangka menarik penyewa serantau dan antarabangsa yang terlibat dalam logistik dan teknologi perindustrian, sekali gus menjadikan Setia Alaman sebagai tarikan hab perniagaan strategik.
“Dalam langkah strategik bagi mempelbagaikan portfolionya dan memacu pertumbuhan keuntungan yang mampan, Setia bakal membangunkan kira-kira 404.68 hektar daripada bank tanahnya bagi tujuan perindustrian.
“Projek ini direka untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi taman perindustrian bertemakan hijau dan infrastruktur logistik serta bakal meningkatkan perolehan dan keuntungan Setia dengan ketara,” katanya.
Ketika ditutup hari ini, harga saham Setia tidak berubah pada RM1.09, dengan 1.47 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial