KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM398 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025, meningkat 11.8 peratus daripada RM356 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia itu berkata hasil susut sedikit sebanyak 0.9 peratus kepada RM2.56 bilion berbanding RM2.58 bilion yang dicatatkan sebelum ini.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal kukuh dengan peningkatan 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.09 bilion, disokong oleh pengurusan kos yang berkesan.
Maxis berkata hasil perkhidmatan asas kekal stabil, dengan pertumbuhan dalam segmen pascabayar pengguna, kediaman, dan perusahaan.
Ia mencatatkan pendapatan perkhidmatan sebanyak RM2.20 bilion, rata berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh kesan berterusan daripada perubahan dalam pengaturan komersial untuk program perlindungan peranti syarikat, yang pertama kali diumumkan pada suku pertama 2025.
Dalam segmen mudah alih pengguna, hasil perkhidmatan menurun sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun, dijejaskan oleh aturan komersial yang disebut sebelum ini dan kadar interkoneksi yang lebih rendah.
Bagaimanapun, langganan mudah alih meningkat sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pertumbuhan sihat dalam segmen pascabayar melalui pelan data yang dipertingkatkan yang memberikan nilai lebih hebat.
Sementara itu, ia berkata segmen prabayar kekal fokus pada penawaran produk yang disasarkan, terutamanya untuk pelancong dan pengguna bijak dalam perbelanjaan mereka.
Segmen kediaman pengguna, yang merangkumi jalur lebar fiber dan penyelesaian solar kediaman, mengekalkan momentum yang stabil dengan pertumbuhan hasil perkhidmatan sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun, selari dengan peningkatan sebanyak 1.4 peratus dalam jumlah sambungan kediaman.
"Perniagaan perusahaan mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan peningkatan hasil perkhidmatan sebanyak 1.5 peratus, didorong oleh langganan mudah alih yang lebih tinggi di samping pertumbuhan dalam hasil talian tetap dan penyelesaian," kata Maxis.
Ketua Pegawai Eksekutif Goh Seow Eng berkata keputusan suku kedua itu menunjukkan daya tahan syarikat yang berterusan, didorong oleh tumpuan berdisiplin terhadap kecemerlangan operasi.
Beliau berkata ini termasuk memacu kecekapan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi melalui pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) untuk menambah baik dan mengautomasikan proses, termasuk pengoptimuman rangkaian.
"Kami mengekalkan panduan setahun penuh kami untuk pertumbuhan hasil perkhidmatan pada angka tunggal rendah dan pertumbuhan EBITDA yang rata ke angka tunggal rendah, dan akan terus melabur secara strategik dalam rangkaian dan penawaran kami untuk meningkatkan keupayaan bersepadu kami serta memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
"Mencerminkan asas kami yang kukuh dan aliran tunai yang kekal mantap, kami mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melangkah ke hadapan, Maxis menjangkakan persaingan dalam sektor telekomunikasi kekal sengit.
Syarikat itu berkata ia akan terus meningkatkan nilai kepada pelanggan melalui penyelesaian kesalinghubungan inovatif dan perkhidmatan yang sangat boleh dipercayai di seluruh rangkaiannya di negara ini.
“Kami komited untuk mengoptimumkan kecekapan operasi demi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
“Lima keutamaan Maxis pada 2025 bagi mengekalkan kedudukannya sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu terunggul di Malaysia kekal tidak berubah, gabungan produk dan jualan silang bagi mengukuhkan segmen pengguna, pengembangan perniagaan perusahaan, pembinaan infrastruktur dan perniagaan borong, pendigitalan serta penggunaan AI, dan kecemerlangan operasi,” kata syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial