BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jauhi Amalan Buli, Budayakan Sikap Hormat Dan Empati - Raja Muda Perlis

21/08/2025 05:49 PM

KANGAR, 21 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menasihati semua pihak menjauhkan diri daripada amalan buli dalam kehidupan seharian.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini, baginda bertitah semua pihak jangan sesekali menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan ejekan atau hiburan, sebaliknya taburkan kata-kata semangat yang mampu menyuburkan keyakinan diri mereka. 

"Dengan menolak budaya buli serta membudayakan sikap hormat dan empati, kita dapat mewujudkan suasana yang penuh keharmonian, selamat dan sejahtera untuk semua," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah demikian semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Negeri sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 di Dewan 2020 di sini semalam.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda putera Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan agar kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan, tetapi juga wahana untuk mempererat silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan dan melahirkan bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri masing-masing seterusnya Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan