BELANJAWAN 2025 > BERITA

Masalah Teknikal Peralatan Punca Anak Panah Tersasar Terkena Kereta Awam- MSNPP

21/08/2025 06:04 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) hari ini menjelaskan bahawa insiden anak panah yang melepasi sasaran hingga mengenai sebuah kereta milik orang awam di Jalan Macalister pada 13 Ogos, berpunca daripada masalah teknikal pada peralatan atlet terbabit.

MSNPP dalam kenyataan memaklumkan siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika seorang atlet negeri menjalani latihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi, di bawah program pembangunan Sukan Malaysia (SUKMA) MSNPP bersama Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang.

“Hasil siasatan, kejadian tidak diingini itu berpunca daripada masalah teknikal yang terjadi pada alatan memanah atlet berkenaan pada hari kejadian, menyebabkan sebatang anak panah yang dilepaskan bergerak melepasi jarak sasaran asal sepatutnya.

“Ia merupakan satu kemalangan tidak disengajakan, di luar kawalan dan tidak terduga berlaku melepasi zon jarak keselamatan yang telah ditetapkan, selaras dengan piawaiaan serta ketetapan yang digariskan dalam peraturan badan induk memanah antarabangsa World Archery,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan MSNPP itu turut menyatakan bahawa kejadian itu adalah yang pertama berlaku sejak latihan memanah berprestasi tinggi dilaksanakan di padang sekolah berkenaan pada 2009.

Susulan insiden tersebut, MSNPP memaklumkan semua sesi latihan memanah di SK Jalan Residensi ditangguhkan serta-merta bermula 13 Ogos, sehingga langkah keselamatan tambahan dilaksanakan di lapang sasar memanah berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan MSNPP juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi alternatif untuk dijadikan pusat latihan baharu, menjelang persediaan pasukan ke SUKMA XVII Selangor 2026 dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis yang sedang menyiasat kes tersebut.

“Pihak majlis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis. Keselamatan atlet, penggiat sukan dan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan majlis dalam membangunkan sukan berprestasi tinggi di peringkat negeri,” menurut MSNPP.

Pada Selasa lepas, polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian sebuah kereta terkena anak panah di Jalan Macalister di sini yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata laporan itu dibuat pemandu kereta berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 57 tahun dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.30 petang, 13 Ogos.

Tular di media sosial video berdurasi 51 saat, memaparkan seorang pemandu kereta yang terkejut selepas sebatang anak panah terlekat pada keretanya ketika melalui jalan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan