BELANJAWAN 2025 > BERITA

RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

21/08/2025 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang bertujuan meluaskan ruang lingkup akta merangkumi aspek keselamatan, kawal guna dan sekuriti nuklear, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU itu antara lain bertujuan memasukkan bahagian baharu IIA bagi mengadakan peruntukan berhubungan Majlis Penasihat Tenaga Atom. 

“Seksyen baharu 2A yang dicadangkan bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan dan keanggotaan Majlis Penasihat.

“Seksyen baharu 2B yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Majlis Penasihat dan seksyen baharu 2C yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mesyuarat Majlis Penasihat,” menurut naskhah biru itu.

Fasal 31 bertujuan memasukkan seksyen baharu 27A untuk memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh melupuskan atau menyebabkan sisa radioaktif dilupuskan, mengitar semula atau mengguna semula apa-apa bahan radioaktif, bahan nuklear atau bahan api terpakai melainkan jika dia adalah pemegang lesen.

RUU itu juga bertujuan memasukkan seksyen baharu 41D untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan dan penalti bagi individu yang menjalankan aktiviti melibatkan bahan radioaktif atau bahan nuklear dengan niat untuk menyebabkan kematian, kecederaan serius kepada mana-mana orang dan menyebabkan kerosakan teruk terhadap harta atau alam sekeliling.

Selain itu, Fasal 61 bertujuan meminda Seksyen 59 untuk memberi Ketua Pengarah kuasa bagi menetapkan suatu had liabiliti yang berlainan daripada yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 59(1) tetapi had liabiliti yang berlainan itu tidak boleh kurang daripada RM12 juta bagi sesuatu insiden nuklear.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan