KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pasukan berstatus WorldTeam, Team Picnic PostNL menagih pengalaman Fabio Jakobsen bagi menguasai laluan landai dalam saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL 2025) dari 28 Sept hingga 5 Okt depan.
Tugas baharu pelumba Belanda itu diumumkan Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025 Emir Abdul Jalal, yang berkata biarpun ketiadaan juara individu keseluruhan tahun lepas, Max Poole dalam pasukan tersebut, Jakobsen diakui antara pakar pecut handalan dunia sekali gus menjadikan persaingan pecutan terakhir ke garisan penamat tahun ini sukar diramal.
“Jakobsen ialah nama yang cukup besar kerana dia pernah memenangi satu peringkat di Tour de France dan lima peringkat di Vuelta a Espana termasuk memenangi jersi Raja Pecut Vuelta pada 2021.
“Dengan koleksi 46 kemenangan sepanjang kariernya setakat ini termasuk di TdF dan Vuelta, Picnic PostNL dilihat tampil dengan sasaran kemenangan peringkat pada penampilan kali kedua pasukan itu kali ini,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara pelumba lain dalam senarai pasukan Picnic PostNL ialah Bjorn Koerdl, Bram Welten, Dilion Corkery, Juan Guillermo Martinez dan Jurgen Zommermaand.
LTdL 2025 akan meliputi 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer (km) melibatkan penyertaan 22 pasukan termasuk tiga pasukan bertaraf WorldTeam, lapan ProTeam, 10 Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.
Perlumbaan bermula di Pulau Langkawi sejauh 96.5km, diikuti Padang Besar–Kepala Batas (170.1km), Gerik–Pasir Puteh (198.2km), Kuala Terengganu–Kemaman (140.8km), Temerloh–Bukit Fraser (133.7km), Shah Alam–Port Dickson (123.4km), Melaka–Medini (214.6km) dan Tangkak–Kuala Lumpur yang meliputi jarak 180.5km.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial