PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), institusi pembedahan tertua di dunia, melebarkan sayap menerusi pembukaan pejabat antarabangsa baharu di sini, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap Malaysia dan Asia Tenggara.
Presidennya Rowan Parks berkata pejabat baharu terbabit mencerminkan pelaburan jangka panjang RCSEd di rantau ini.
“Pejabat baharu ini bukan sekadar ruang, ia pernyataan komitmen terhadap komuniti Asia Tenggara. Malaysia telah sekian lama menjadi rakan utama dalam latihan dan kemajuan bidang pembedahan serta pergigian, dan pembukaan pejabat baharu ini membolehkan kami memperkukuh pelaburan dalam kerjasama tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa ini Malaysia berdepan kekurangan pakar, khususnya dalam bidang pembedahan, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan sekurang-kurangnya 13,000 pakar diperlukan menjelang 2030, iaitu dua kali ganda daripada jumlah semasa.
Sehubungan dengan itu, RCSEd memaklumkan pejabat baharu itu yang terletak di Akademi Perubatan Malaysia (AMM) bermatlamat menyokong pembinaan kapasiti, pembangunan profesional dan pendidikan perubatan berterusan bagi menangani jurang terbabit.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Felo Kehormat RSCEd berkenan merasmikan pejabat berkenaan hari ini.
Turut hadir presiden kolej perubatan dan pergigian serta wakil kanan daripada bidang pembedahan dan pergigian.
Ditubuhkan pada 1505, RCSEd memiliki lebih daripada 33,000 ahli di lebih 100 negara dan diiktiraf kerana menggalakkan piawaian tinggi dalam amalan pembedahan dan pergigian menerusi pendidikan, latihan serta peperiksaan.
Majlis hari ini turut menyaksikan penandatanganan Surat Hasrat (LoI) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sokongan penajaan daripada The Straumann Group serta penganugerahan Malaysia-United Kingdom Travelling Fellowship (MUTF) kepada Dr Yu Wei daripada Universiti Malaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial