GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan laporan geoteknikal kejadian tanah runtuh di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, di sini bagi menilai keadaan cerun secara menyeluruh dan merancang langkah pembaikan jangka panjang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hasil siasatan teknikal itu akan menjadi panduan penting bagi memastikan struktur cerun lebih stabil serta mengelakkan risiko berulang.
“Dimaklumkan JKR Pulau Pinang telah bertindak segera di lokasi sejurus menerima laporan dengan mengambil langkah awal menutup kawasan cerun menggunakan kanvas bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.
“Kerajaan melalui JKR akan terus memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan rakyat, khususnya di kawasan cerun berisiko,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya, malam ini.
Nanta berkata kementeriannya akan memantau rapat perkembangan kes tersebut dan memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan secepat mungkin demi kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas tindakan segera termasuk pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dan ADUN Air Itam serta pihak berkuasa tempatan.
Hujan lebat lebih tiga jam sejak tengah hari tadi mengakibatkan tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran kediaman penduduk di Jalan Paya Terubong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial